Maxis raikan peningkatan akademik dan kuasa pembelajaran digital di Anugerah Gemilang eKelas 2025

- Anugerah Gemilang eKelas 2025 mengiktiraf 42 pelajar daripada isi rumah B40 atas kemajuan akademik dan potensi mereka
- Pemenang dari sekolah-sekolah di seluruh negara menerima geran pendidikan SSPN bagi menyokong pendidikan masa depan mereka
- Platform eKelas terus memperluaskan kurikulum dan kandungan digitalnya untuk memperkasakan pelajar dengan kemahiran sedia masa hadapan
Meneruskan komitmennya terhadap pemerkasaan pendidikan, Maxis baru-baru ini meraikan pencapaian 42 pelajar cemerlang dalam program Anugerah Gemilang eKelas 2025. Terdiri daripada 25 pelajar sekolah menengah dan 17 pelajar sekolah rendah dari seluruh Malaysia, para pemenang telah diiktiraf atas peningkatan akademik yang ketara serta penglibatan aktif mereka di platform pembelajaran digital Maxis eKelas.
Platform Maxis eKelas memperkasakan pelajar dengan kandungan dan sumber pendidikan berkualiti untuk meningkatkan prestasi akademik mereka, dengan tumpuan kepada subjek Sains, Teknologi, Kejuruteraan, dan Matematik (STEM). Anugerah Gemilang eKelas mengiktiraf dan memberi ganjaran kepada pelajar eKelas yang aktif daripada isi rumah B40, mencerminkan usaha berterusan Maxis dalam mempromosikan pembelajaran digital yang mudah diakses.
Program anugerah tahun ini telah menerima lebih daripada 400 permohonan dalam tempoh tiga bulan. Pemenang menerima bantuan kewangan untuk pendidikan masa hadapan, dengan geran sebanyak RM1,500 bagi pelajar sekolah menengah dan RM750 untuk pelajar sekolah rendah yang dimasukkan ke dalam akaun Skim Simpanan Pendidikan Nasional (SSPN) mereka.
Awal bulan ini, pemenang-pemenang dari Kuala Lumpur, Selangor dan Negeri Sembilan diraikan dalam satu majlis yang diadakan di Menara Maxis. Majlis tersebut telah dirasmikan oleh Moktar Bin Wahid, Timbalan Pengarah Bahagian Sumber dan Teknologi Pendidikan, Kementerian Pendidikan Malaysia. Pemenang dari wilayah lain akan diraikan pada penyampaian anugerah yang akan datang.
“Perjalanan ke arah kejayaan akademik sering dibentuk oleh akses kepada sokongan dan sumber pembelajaran yang tepat. Kami berbangga dapat menyokong perjalanan ini melalui Maxis eKelas, dan meraikan kemajuan serta kecekalan yang cemerlang melalui Anugerah Gemilang eKelas. Dengan mengiktiraf pelajar yang telah menunjukkan peningkatan yang bermakna, kami menampilkan komitmen kami untuk merapatkan jurang digital dan menghubungkan golongan muda kepada dunia penuh peluang.” - Azizul Abdul Rahman, Ketua Pegawai Hal Ehwal Korporat Maxis

Impak eKelas dapat dilihat dengan jelas melalui pelajar seperti Chan Kit Yeong, 18, dari SMK Bandar Puncak Jalil, Selangor. Dia menghargai kuiz latihan dalam eKelas sebagai faktor yang membantunya memperoleh 7A dalam SPM, sekali gus membuka jalan untuk mengejar impiannya dalam bidang kejuruteraan elektrik. Begitu juga dengan Nurain Farhani, 16, dari SMK Bandar Tasik Kesuma, Selangor, yang menunjukkan peningkatan dalam empat subjek tahun lalu. Beliau menekankan bahawa kuiz-kuiz tersebut sangat membantu dalam memudahkan pemahaman konsep-konsep yang rumit, menjadikan pembelajaran lebih terurus, menyokong kemajuan akademiknya dengan berkesan.
Kelayakan terbuka kepada pelajar Malaysia dari Tahun 4 hingga Tingkatan 5 yang mempunyai akaun eKelas, daripada isi rumah B40, dan menunjukkan peningkatan dalam sekurang-kurangnya dua mata Pelajaran teras dengan minimum satu gred atau tahap. Pemenang dinilai berdasarkan kemajuan akademik yang boleh diukur serta penglibatan aktif di platform eKelas.
Anugerah Gemilang eKelas ialah inisiatif tahunan di bawah eKelas, program komuniti utama Maxis. eKelas merupakan inisiatif pembelajaran digital selepas sekolah yang bertujuan meningkatkan prestasi akademik, khususnya dalam kalangan komuniti yang kurang mendapat layanan. Ia menawarkan sesi tutorial secara langsung, pembelajaran berkumpulan, pertandingan serta kandungan digital yang komprehensif melalui portal dan aplikasi mudah alih. Tahun ini, kurikulum eKelas telah diperluaskan untuk merangkumi subjek Tingkatan 4 dan 5 seperti Fizik, Kimia, Biologi dan Matematik Tambahan, bersama dengan kuiz penilaian kendiri. Modul kecerdasan buatan generatif (Gen AI) juga akan diperkenalkan bagi melengkapi pelajar dengan kemahiran sedia untuk masa hadapan.
Untuk mengetahui lebih lanjut mengenai eKelas dan Anugerah Gemilang eKelas, layari www.ekelas.com.my