Maxis melabur dalam masa depan digital Pulau Pinang dengan peluasan rangkaian fiber untuk meningkatkan kesalinghubungan jalur lebar berkelajuan tinggi

- Peluasan rangkaian fiber Maxis menyasarkan untuk menghubungkan lebih 100,000 kediaman di Pulau Pinang menjelang 2027
- Pelaksanaan akan merangkumi semua daerah di Pulau Pinang, dengan tumpuan kepada kawasan bandar yang mempunyai permintaan tinggi
- Inisiatif ini menampilkan komitmen jangka panjang Maxis dalam menyokong agenda digital negeri ke arah pencapaian visi Penang2030
Maxis hari ini mengumumkan peluasan infrastruktur rangkaian fiber melalui di Pulau Pinang, dengan matlamat untuk menghubungkan lebih daripada 100,000 kediaman di negeri tersebut menjelang tahun 2027. Inisiatif pelaksaaan rangkaian fiber Maxis ini akan meliputi semua daerah di Pulau Pinang, dengan tumpuan khusus kepada kawasan bandar berpermintaan tinggi seperti Jelutong, Georgetown, Batu Maung, Bayan Lepas, dan Bayan Baru, serta lokasi utama di Seberang Perai.
Sebuah majlis pelancaran telah diadakan hari ini di Dewan MPKK Bandar Cassia, Batu Kawan, yang dirasmikan oleh YAB Tuan Chow Kon Yeow, Ketua Menteri Pulau Pinang, seiring dengan Goh Seow Eng, Ketua Pegawai Eksekutif Maxis. Inisiatif ini menampilkan komitmen jangka panjang Maxis untuk menyokong agenda digital negeri ke arah mencapai visi Penang2030 sebagai sebuah negeri yang pintar dan hijau berteraskan keluarga.

YAB Tuan Chow Kon Yeow mendokong inisiatif ini dan mengiktiraf peranannya dalam memacu agenda digital Pulau Pinang:
“Kerajaan Negeri Pulau Pinang mengalu-alukan inisiatif pengembangan fiber oleh Maxis yang selari dengan visi Penang2030 untuk membina sebuah negeri yang pintar, hijau dan inklusif. Kesalinghubungan internet berkualiti tinggi merupakan pemacu penting bagi pendidikan, pembangunan bakat dan pertumbuhan ekonomi, yang akan terus memperkukuh kedudukan Pulau Pinang sebagai hab serantau untuk teknologi dan inovasi. Kerajaan Negeri akan terus mempertingkatkan infrastruktur digital negeri ini bagi merapatkan jurang digital dan memastikan setiap rakyat Pulau Pinang bersedia untuk maju dalam ekonomi masa depan.” -
Goh Seow Eng, Ketua Pegawai Eksekutif Maxis, menekankan komitmen syarikat untuk menyokong aspirasi digital negeri:
“Maxis berbangga untuk menyokong perjalanan digital Pulau Pinang melalui peluasan rangkaian fiber kami, yang akan membuka peluang baharu kepada rakyatnya. Pembinaan rangkaian fiber milik sendiri memberi kami kawalan penuh terhadap kualiti perkhidmatan, memastikan kesalinghubungan yang pantas, boleh dipercayai dan selamat untuk para pelanggan. Kami amat menghargai kepimpinan berwawasan Kerajaan Negeri Pulau Pinang dan berharap dapat terus bekerjasama bagi memacu agenda digital negeri.” -
Pengembangan rangkaian fiber Maxis di negeri tersebut turut dibolehkan oleh Garis Panduan Pemasangan Talian Atas untuk Sambungan Akhir ke Premis Pelanggan yang diperkenalkan oleh Kerajaan Negeri Pulau Pinang baru-baru ini – satu inisiatif pertama seumpamanya di Malaysia. Inisiatif progresif ini menyelaraskan garis panduan perkongsian tiang dan membolehkan penyedia telekomunikasi melaksanakan pembangunan rangkaian fiber dengan lebih cepat dan efisien di seluruh negeri. Dalam majlis tersebut, Maxis turut merakamkan penghargaan kepada Kerajaan Negeri atas pandangan jauh dan komitmen dalam memperluas akses digital serta menggalakkan persaingan.
Maxis kini mengendalikan rangkaian fiber yang merentasi lebih 23,000 kilometer di seluruh negara, dengan kapasiti untuk menyediakan perkhidmatan kepada lebih setengah juta kediaman. Jejak rangkaian fiber milik Maxis turut dilengkapi dengan akses fiber melalui penyedia infrastruktur lain, menambah kepada liputan perkhidmatannya di seluruh negara.
Maxis akan terus memperluas rangkaian fiber dan mempertingkatkan penyelesaian kesalinghubungan untuk kediaman, selari dengan permintaan pengguna yang semakin meningkat terhadap akses internet berkelajuan tinggi. Dengan perkembangan pelaksanaan fiber Maxis di seluruh Pulau Pinang, rangkaian yang kukuh dan boleh diskalakan tersebut akan memberi manfaat bukan sahaja kepada penduduk, malah kepada perniagaan dalam memacu pendigitalan yang lebih meluas.