Maxis menyemarakkan semangat Kaamatan menerusi sumbangan keperluan asas kepada The Hope Village di Tuaran
Maxis meraikan musim Kaamatan bersama komuniti di The Hope Village, Tuaran, Sabah, dengan menganjurkan satu majlis istimewa untuk para penghuninya. Bagi memeriahkan sambutan ini serta membantu memenuhi keperluan pusat berkenaan, Maxis turut menyumbangkan peralatan perubatan penting dan barangan keperluan harian.
The Hope Village merupakan sebuah pusat perlindungan bagi warga emas yang memerlukan penjagaan rapi. Pusat ini beroperasi dengan kadar yuran minimum bagi memastikan kesinambungan operasinya sambil menjaga kebajikan para penghuni. Selain itu, pusat ini juga bekerjasama rapat dengan Food for the Hungry International Malaysia (FHIM) dalam menyokong kanak-kanak di komuniti sekitar, khususnya dari segi akses kepada pendidikan, pemakanan serta program pembangunan holistik.
Bagi membantu operasi harian pusat tersebut, Maxis menyumbangkan pelbagai peralatan perubatan penting termasuk katil hospital, kerusi roda dan defibrilator luaran automatik (AED). Sokongan ini turut merangkumi keperluan harian dengan seramai 80 penghuni menerima barangan runcit, manakala kanak-kanak pula diberikan baucar bernilai RM100 untuk membeli kelengkapan persekolahan.
“Di Maxis, keprihatinan kami melangkaui sekadar menyediakan ketersambungan kerana kami percaya akan pentingnya untuk sentiasa bersama komuniti. Kami berbesar hati dapat menyokong The Hope Village sempena Kaamatan ini menerusi sumbangan keperluan harian yang praktikal dan bermakna,” - Azizul Abdul Rahman, Ketua Pegawai Hal Ehwal Korporat Maxis
“Sumbangan ini amat bermakna buat para penghuni kami. Sambutan yang dikongsi bersama ini juga membawa erti bahawa mereka sentiasa diingati dan didukung oleh komuniti sekeliling. Kami amat menghargai keprihatinan Maxis yang bersama kami sempena Kaamatan ini,” kata Clarence Fu Tze Kong, Ketua Pegawai Eksekutif The Hope Village.
Majlis pada petang itu berlangsung dalam semangat kebersamaan yang selaras dengan sambutan Kaamatan. Selain menikmati jamuan istimewa, sukarelawan Maxis, para penjaga dan penghuni turut bersama-sama memeriahkan majlis menerusi permainan serta persembahan kebudayaan, sekali gus menyatukan semua yang hadir dalam semangat perayaan.