Maxis tingkatkan keselamatan pelanggan dengan perlindungan rangkaian baharu berkuasa AI untuk panggilan dan SMS
Maxis Berhad (Maxis) telah meningkatkan lagi pertahanannya terhadap penipuan digital dengan melaksanakan 'firewall' rangkaian bersepadu berkuasa kecerdasan buatan (AI) untuk trafik panggilan dan SMS. Beroperasi sejak Januari 2026, langkah ini memperluas protokol keselamatan berbilang lapisan Maxis, menambah lapisan perlindungan baharu untuk menyediakan pengalaman ketersambungan yang lebih selamat bagi pelanggan.
Perkhidmatan hujung-ke-hujung ini menyaring trafik SMS dan panggilan antarabangsa yang memasuki Malaysia untuk memastikan integritinya. Dikuasakan oleh AI, sistem ini menyediakan pemantauan 24/7 dan analisis trafik berterusan untuk mengesan dan meneutralkan ancaman dalam masa nyata, memintas ancaman sebelum ia sampai kepada pengguna. Langkah-langkah keselamatan yang dipertingkatkan ini disediakan tanpa kos tambahan.
'Firewall' ini direka untuk menyekat mesej SMS yang tidak diingini, termasuk spam, mesej penipuan antarabangsa yang menyamar sebagai trafik tempatan, dan trafik daripada saluran tidak rasmi. Ini melindungi pengguna daripada serangan canggih dan ID pengirim palsu. Ia juga berfungsi untuk panggilan suara, menjadikannya lebih sukar bagi 'scammer' untuk melakukan 'spoofing' dengan menyembunyikan nombor dan identiti sebenar mereka.
"Memandangkan taktik penipuan menjadi semakin kompleks, usaha menjamin keselamatan perlu dijalankan secara berterusan. Firewall berkuasa AI ini membolehkan kami menangani pelbagai ancaman yang berkembang dan potensi risiko dengan lebih baik. Langkah ini mengukuhkan komitmen kami untuk menyampaikan rangkaian yang pantas, boleh dipercayai, dan selamat agar pelanggan kami boleh kekal berhubung dengan lebih yakin." - Yap Chee Sun, Ketua Pegawai Rangkaian di Maxis
Pelaksanaan 'firewall' ini adalah tambahan kepada perlindungan rangkaian sedia ada Maxis. Pada tahun 2025 sahaja, syarikat telah memintas dan menyekat lebih daripada setengah bilion percubaan penipuan panggilan dan SMS, termasuk mesej yang mengandungi URL berbahaya dan kata kunci penipuan.
Selain memperkukuh keselamatan rangkaiannya, Maxis bekerjasama secara aktif dengan industri untuk memerangi penipuan digital. Sejak akhir Januari 2026, syarikat telah melaksanakan pemeriksaan 'spoofing' antara pengendali dengan empat pengendali rangkaian mudah alih (MNO) lain, di mana nombor pemanggil disahkan secara langsung dengan pengendali masing-masing untuk mengesan nombor yang disembunyikan.
Maxis terus bekerjasama rapat dengan agensi penguatkuasaan untuk memerangi penipuan, selaras dengan keutamaan keselamatan siber negara. Syarikat juga mendidik pengguna mengenai taktik penipuan yang muncul melalui komunikasi pelanggan dan saluran digitalnya.