Maxis dilantik sebagai rakan telekomunikasi dan infrastruktur pilihan bagi ECRL melalui perjanjian 10 tahun yang bersejarah
(Kiri ke Kanan) YBhg. Tan Sri Shamsul Azri bin Abu Bakar, Ketua Setiausaha Negara merangkap Pengerusi Malaysia Rail Link Sdn Bhd (MRL); YBhg. Dato’ Sri Darwis bin Abdul Razak, Ketua Pegawai Eksekutif Malaysia Rail Link Sdn Bhd (MRL); YB Loke Siew Fook, Menteri Pengangkutan Malaysia; YB Datuk Fahmi Fadzil, Menteri Komunikasi Malaysia; Azizul bin Abdul Rahman, Ketua Pegawai Hal Ehwal Korporat Maxis; Prateek Pashine, Ketua Pegawai Perniagaan Perusahaan Maxis.
Maxis Berhad (Maxis) telah dilantik secara rasmi oleh Malaysia Rail Link Sdn Bhd (MRL) sebagai Penyedia Infrastruktur dan Rakan Telekomunikasi Pilihan Tunggal bagi projek Laluan Rel Pantai Timur (ECRL). Perkongsian strategik selama tempoh 10 tahun ini mengukuhkan peranan Maxis dalam memacu salah satu projek infrastruktur nasional yang terpenting di Malaysia.
Pelantikan ini dimeterai hari ini di stesen ECRL KotaSAS di Kuantan, sempena majlis ketibaan bersejarah Golden Tren Electric Multiple Unit (EMU) dan Lokomotif Elektrik (E-Loco) projek ECRL. Majlis tersebut disempurnakan oleh Menteri Pengangkutan Malaysia, YB Loke Siew Fook, serta Menteri Komunikasi Malaysia, YB Datuk Fahmi Fadzil.
Tulang Belakang Digital Menyeluruh
Di bawah perjanjian ini, Maxis akan menerajui penyampaian ekosistem kesalinghubungan lengkap di sepanjang jajaran rel 665 kilometer, termasuk:
- Kesalinghubungan Mudah Alih: Memastikan liputan mudah alih yang lancar untuk penumpang, termasuk di dalam terowong dan di semua stesen.
- Infrastruktur Fiber: Mengurus operasi, penyelenggaraan serta pengkomersialan aset telekomunikasi dan kapasiti fiber milik MRL.
- Pengalaman Penumpang: Menyediakan WiFi berkelajuan tinggi di dalam tren dan penyelesaian jalur lebar untuk peruncit di stesen ECRL.
- Penyelesaian Operasi: Melaksanakan perkhidmatan push-to-talk (PTT) perusahaan bagi meningkatkan komunikasi dan keselamatan anggota operasi rel.
Kerjasama Strategik Industri
Bagi memastikan kesalinghubungan universal, Maxis telah memeterai perjanjian dengan U Mobile Sdn Bhd (U Mobile) untuk bersama-sama membangunkan infrastruktur mudah alih baharu. Kerjasama ini memastikan ECRL beroperasi sebagai rangkaian berkongsi, membolehkan pengguna daripada semua pengendali rangkaian mudah alih (MNO) menikmati perkhidmatan tanpa gangguan. Sebagai rakan utama, Maxis akan menyelaras dengan MNO lain untuk mengekalkan piawaian kualiti dan liputan yang ketat di sepanjang keseluruhan jajaran.
“Maxis komited untuk menyokong projek ECRL dengan menyediakan kesalinghubungan yang pantas, diyakini dan selamat, yang memberi manfaat kepada operasi rel, para penumpang serta ekosistem peruncit. Inisiatif ini selaras dengan agenda digital negara, sekaligus menyumbang kepada pembangunan Wilayah Ekonomi Pantai Timur (ECER) demi manfaat rakyat.” - Goh Seow Eng, Ketua Pegawai Eksekutif Maxis
Memacu Agenda Digital Negara
Perkongsian ini menandakan satu pencapaian penting dalam perjalanan Malaysia ke arah rangkaian pengangkutan yang bersepadu secara digital. Dengan memanfaatkan rangkaian konvergen No. 1 miliknya, Maxis memastikan ECRL bukan sekadar penghubung pengangkutan, tetapi sebuah koridor digital yang memperkasa komuniti, perniagaan dan industri di seluruh Pantai Timur.