Maxis catat prestasi kukuh bagi Suku Kedua 2026 dengan pertumbuhan keuntungan 9.5%
- Keuntungan Selepas Cukai sebanyak RM436 juta, meningkat 9.5% tahun ke tahun (YoY)
- EBITDA sebanyak RM1.12 bilion, meningkat 2.7% YoY
- Hasil Perkhidmatan sebanyak RM2.25 bilion, meningkat 2.2% YoY
- Dividen interim sebanyak 4 sen sesaham
Maxis Berhad (Maxis) hari ini melaporkan prestasi yang sihat bagi suku kedua berakhir 30 Jun 2026, dengan Keuntungan Selepas Cukai (PAT) meningkat 9.5% tahun-ke-tahun (YoY) kepada RM436 juta. Prestasi yang kukuh ini didorong oleh pertumbuhan Hasil Perkhidmatan yang stabil sebanyak 2.2% YoY kepada RM2.25 bilion serta pertumbuhan EBITDA sebanyak 2.7% YoY kepada RM1.12 bilion.
Disokong oleh pengurusan modal kerja yang berkesan, Maxis mencatatkan Aliran Tunai Bebas Operasi yang lebih tinggi sebanyak RM991 juta. Syarikat terus melabur secara strategik dalam infrastruktur rangkaian bersepadunya, memperuntukkan RM171 juta perbelanjaan modal (CAPEX) untuk memperluas liputan rangkaian gentian optik, menaik taraf kapasiti rangkaian, serta meningkatkan kebolehpercayaan perkhidmatan.
Prestasi suku ini menunjukkan disiplin operasi Maxis, yang disokong oleh integrasi AI yang lebih mendalam merentasi operasi dan infrastruktur rangkaiannya. Dalam segmen Perniagaan Pengguna, Maxis terus mempertingkatkan penawaran mudah alih dan gentian optik bersepadunya untuk memenuhi keperluan pelanggan yang sentiasa berubah. Sementara itu, Perniagaan Perusahaan Maxis berkembang melalui penyelesaian ICT bersepadu, memperkukuh kedudukan Maxis sebagai rakan infrastruktur digital dan kesalinghubungan yang diyakini untuk perniagaan di Malaysia.
Prestasi mengikut segmen:
- Mudah Alih Pengguna: Hasil perkhidmatan meningkat 2.7% YoY kepada RM1.58 bilion, disokong oleh pelan pascabayar dan prabayar baharu dengan tawaran data yang dikemas kini. Jumlah pelanggan mudah alih meningkat 1.7% YoY kepada 9.98 juta, didorong oleh pertumbuhan pelanggan pascabayar yang berterusan.
- Kediaman Pengguna: Tumpuan strategik Maxis terhadap pakej mudah alih-gentian optik bersepadu terus mengukuhkan kesetiaan pelanggan, mendorong peningkatan 3.2% YoY dalam langganan kepada 813,000. Walaupun hasil perkhidmatan mencatat penurunan kecil sebanyak 0.8% YoY kepada RM252 juta, segmen ini berjaya meraih peningkatan margin sebanyak 5%.
- Perniagaan Perusahaan: Hasil perkhidmatan meningkat 2.2% YoY kepada RM416 juta. Pertumbuhan segmen ini didorong oleh portfolio penawaran Tetap & Penyelesaian, termasuk perkhidmatan terurus, kesalinghubungan awan, dan penyelesaian digital.
"Prestasi suku kedua kami menunjukkan pendekatan kami terhadap perniagaan, yang menggabungkan prestasi hasil yang stabil dengan disiplin operasi untuk memacu pertumbuhan keuntungan. Kami terus mendorong perluasan margin melalui pelaksanaan yang tertumpu merentasi keseluruhan perniagaan. Berdasarkan prestasi kewangan ini, Lembaga Pengarah telah mengisytiharkan dividen interim sebanyak 4 sen sesaham, mengekalkan pembayaran dividen kami yang stabil. Susulan prestasi separuh pertama tahun yang kukuh, unjuran setahun penuh kami kekal tidak berubah pada pertumbuhan satu digit rendah dalam Hasil Perkhidmatan dan EBITDA, dengan intensiti CAPEX antara 10% hingga 12%. Sepanjang baki tahun ini, kami akan terus menumpukan usaha untuk memanfaatkan rangkaian bersepadu kami untuk menjana nilai kepada pengguna dan menggerakkan perniagaan, di samping memacu pertumbuhan jangka panjang yang mampan untuk pemegang saham kami." - Goh Seow Eng, Ketua Pegawai Eksekutif Maxis
Inisiatif Utama pada S2 2026:
Sepanjang suku ini, Maxis telah memacu beberapa inisiatif utama:
- Pertumbuhan Perusahaan: Memperkenalkan portfolio Pascabayar Maxis Business yang ditambah baik dan memperoleh pembaharuan selama tiga tahun daripada Telekom Malaysia untuk Rangkaian Teras Berbilang Pengendali (MOCN) 4G serta perkhidmatan perayauan domestik 4G dan 2G.
- Penyelesaian Kediaman: Memperluas Maxis Home Solar dengan pilihan pembelian terus, menawarkan lebih fleksibiliti kepada pelanggan dalam penggunaan tenaga solar.
- Pemerkasaan Digital: Mempertingkatkan Program GenAI Maxis eKelas dan menyokong usahawan Sabah melalui eKelas Usahawan, sekali gus memperluas akses kepada kemahiran AI dan perniagaan digital yang praktikal.