Maxis memacu pertumbuhan usahawan Sarawak melalui peningkatan kemahiran AI dan pemasaran digital
(standing, centre-left) Bhaarathyraja A/L Thanapal, Director of Regional Sales Management (Sarawak), Maxis; and (standing, centre-right) Azizul Abdul Rahman, Chief Corporate Affairs Officer, Maxis, with graduates of the eKelas Usahawan Accelerator Programme in Sarawak.
Maxis Berhad (Maxis) telah memperluaskan Program Pemecutan eKelas Usahawan ke Sarawak, dengan 44 usahawan tempatan yang telah berjaya menamatkan latihan intensif selama tiga bulan bagi memacu pertumbuhan perniagaan mereka melalui peningkatan kemahiran AI dan pemasaran digital. Kohort keempat ini terdiri daripada usahawan dari kawasan bandar dan luar bandar di seluruh Sarawak, yang menjalankan perniagaan dalam pelbagai sektor termasuk makanan, kecantikan dan fesyen, pembinaan serta pertanian.
Melalui sesi bimbingan secara hibrid, para usahawan mempelajari cara menggunakan AI untuk menghasilkan bahan penulisan dan kandungan promosi, mengurus kempen pemasaran digital serta meningkatkan kehadiran dalam talian bagi menjangkau lebih ramai pelanggan. Mereka turut mempelajari analitik bagi memahami tingkah laku pelanggan dengan lebih baik dan menilai keberkesanan kempen pemasaran.
Dengan bimbingan praktikal sepanjang program, para usahawan mengaplikasikan kemahiran yang dipelajari untuk meluaskan jangkauan melalui platform digital dan media sosial, sekali gus mengembangkan perniagaan mereka. Hasilnya, kohort ini mencatatkan peningkatan purata hasil perniagaan sebanyak 20%. Bagi memastikan perkembangan ini dapat dikekalkan, para graduan boleh mendapatkan sokongan dan bimbingan berterusan melalui rangkaian alumni program.
“Melihat perkembangan berterusan program ini memberi inspirasi kepada kami. Dengan melengkapkan usahawan dengan kemahiran asas yang penting, kami membantu mereka berkembang maju dalam dunia digital, sekali gus memacu pemerkasaan ekonomi. Kami berbangga dengan impak yang telah dicapai di Sarawak dan berharap dapat memperluaskan peluang ini kepada lebih banyak komuniti, kerana Esok Bermula Hari Ini.” - Azizul Abdul Rahman, Ketua Pegawai Hal Ehwal Korporat Maxis.
Usahawan cemerlang Sariah Jeman dari Azfar Tailor berjaya menggandakan hasil perniagaan bulanannya daripada RM3,705 kepada RM7,589 dengan mengaplikasikan kemahiran yang dipelajari sepanjang latihan.
“Sebagai tukang jahit tempatan, saya mempunyai pelanggan tetap tetapi menghadapi kesukaran untuk mengembangkan perniagaan. Memanfaatkan AI untuk perancangan kandungan dan menggunakan alat digital untuk menguruskan pesanan telah membantu saya menarik pelanggan baharu dan melancarkan operasi perniagaan. Peningkatan ketara dalam pendapatan bulanan telah banyak membantu menjamin kestabilan kewangan keluarga saya. Kini, saya merancang untuk menaik taraf peralatan bagi memenuhi permintaan yang semakin meningkat.” - Sariah
Seorang lagi usahawan, Heni Lim dari ING Collection Shopee, berjaya menjangkau lebih ramai pelanggan dengan beralih daripada kedai fizikal kepada perniagaan dalam talian.
“Bergantung sepenuhnya pada pelanggan yang berkunjung ke kedai hampir tidak mencukupi untuk menampung perbelanjaan asas saya. Melalui program ini, saya lebih yakin untuk beralih sepenuhnya kepada perniagaan dalam talian dengan menggunakan AI untuk menghasilkan kandungan dan pemasaran digital. Dengan adanya laman e-dagang, saya dapat mempamerkan produk kepada pelanggan dengan lebih mudah, dan kini, saya juga kerap menghantar pesanan ke negeri-negeri lain. Seterusnya, saya berharap dapat meluaskan jangkauan pelanggan dan mengembangkan lagi perniagaan ini.” - Heni
Berteraskan inisiatif Maxis eKelas Usahawan yang bertujuan untuk memperkasakan perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS) di Malaysia, program pemecutan ini telah melatih seramai 200 usahawan sejak Disember 2024. Ini termasuk 96 usahawan di Malaysia Timur menerusi kohort Sabah dan Sarawak.
Inisiatif ini melengkapi kerjasama Maxis eKelas Usahawan yang lebih meluas bersama Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (KUSKOP) untuk memacu pertumbuhan perniagaan tempatan melalui penggunaan digital.