Pelan dan pakej peranti Maxis kini ditawarkan di kedai Switch dan Urban Republic
Maxis mengumumkan kerjasama strategik dengan CG Computers, kumpulan peruncitan yang mengendalikan Switch dan Urban Republic, untuk menawarkan pelan Maxis Postpaid dan pakej peranti Maxis di kedai-kedai mereka di seluruh negara.
Menerusi kerjasama berkonsepkan kedai dalam kedai (shop-in-shop) ini, pelanggan kini boleh memilih peranti baharu, memilih pelan Maxis dan mengaktifkan perkhidmatan kesalinghubungan mereka dalam satu kunjungan. Sama ada ingin melanggan pelan baharu, menaik taraf pelan sedia ada atau mendapatkan maklumat tentang pilihan perlindungan peranti dan pembiayaan, pelanggan akan dibantu oleh perunding jualan terlatih. Pengalaman yang lancar ini memudahkan pelanggan daripada perlu membuat kunjungan berasingan ke cawangan penyedia telekomunikasi untuk mendapatkan perkhidmatan.
Kerjasama ini melengkapi strategi peruncitan Maxis yang lebih menyeluruh dengan memperluas kehadirannya ke saluran runcit alternatif yang menjadi pilihan pelanggan untuk membeli produk teknologi.
Switch ialah Apple Premium Reseller terbesar dan Apple Premium Partner di Malaysia, dengan 94 kedai di seluruh negara, menawarkan produk Apple termasuk iPhone, Mac, iPad dan Apple Watch, serta sokongan teknikal yang sah. Urban Republic pula ialah peruncit teknologi gaya hidup berbilang jenama yang menawarkan telefon pintar, produk audio dan aksesori. Secara keseluruhan, kedua-dua jenama ini mengendalikan 222 kedai di seluruh Malaysia.
“Pelanggan kini tidak lagi menganggap peranti dan kesalinghubungan sebagai pembelian yang berasingan. Kerjasama ini membolehkan kami mendekati pelanggan di tempat mereka membeli produk teknologi dan memudahkan mereka memilih peranti serta pelan dalam satu kunjungan. Lebih penting lagi, kami memperluas peluang pemilikan dengan menangani tiga halangan utama: kemampuan membayar kos permulaan, penjimatan jangka panjang dan fleksibiliti pembayaran. Dengan menawarkan pakej Maxis Postpaid dan pilihan pemilikan yang fleksibel di Switch dan Urban Republic, pelanggan boleh memiliki peranti yang mereka ingini dengan kos permulaan yang lebih rendah dan nilai keseluruhan yang lebih tinggi.” - Wendy Chang, Pengarah Jualan Maxis
“Kerjasama kami dengan Maxis berteraskan satu matlamat utama: bagaimana kami dapat menawarkan lebih banyak manfaat dan kemudahan kepada pelanggan. Dengan menyediakan perkhidmatan Maxis di semua kedai Switch di seluruh negara, kami dapat memberikan pengalaman membeli-belah yang lebih lancar. Pelanggan boleh melihat dan memilih peranti serta penyelesaian kesalinghubungan di bawah satu bumbung. Kerjasama ini bukan sekadar menambah pilihan yang kami tawarkan. Ia juga bertujuan memudahkan urusan pelanggan, menjadikan proses pendaftaran lebih mudah serta memastikan pelanggan Switch dan Maxis menikmati pengalaman yang lebih mudah dan berbaloi. Kami percaya pengumuman kerjasama ini akan terus mengukuhkan komitmen kami untuk memberikan pengalaman membeli-belah yang benar-benar terhubung kepada rakyat Malaysia.” - Li Chau Ging, Pengarah Urusan CG Computers
Kerjasama tersebut diumumkan sempena pembukaan kedai Switch baharu di 118 Mall, Kuala Lumpur pada minggu lalu. Untuk mengetahui lokasi kedai yang mengambil bahagian dan mendapatkan maklumat lanjut, sila layari https://shop.switch.com.my/pages/maxis.