Maxis meraikan irama Kaamatan di KDCA dengan “Aramaiti! Gema Jiwa Kaamatan”
Meneruskan tradisi tahunannya, Maxis kembali ke Persatuan Kebudayaan Kadazandusun (KDCA) dengan “Aramaiti! Gema Jiwa Kaamatan”.
Berlangsung sehingga 31 Mei, ruang pameran Maxis menjemput para pengunjung untuk menikmati pengalaman sambutan yang imersif dan merangsang deria, berinspirasikan tradisi meriah pesta menuai.
Mengalu-alukan para tetamu di pintu masuk KDCA adalah tarikan maskot setinggi sembilan kaki yang pertama di Sabah, iaitu Dinocorn Maxis yang berpakaian tradisional Kaamatan. Tarikan ini telah dirasmikan oleh YB Datuk Donald Peter Mojuntin, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Moyog.
Sebagai satu-satunya penaja telekomunikasi untuk pertandingan Unduk Ngadau, Maxis meneruskan sokongan padunya terhadap tradisi Sabah ini. Ruang pameran Maxis juga akan dimeriahkan dengan penampilan khas para peserta Unduk Ngadau peringkat negeri bersama pasukan Kupi-Kupi FM Cruiser.
Tumpuan utama di ruang pameran Maxis ialah sebuah instalasi gendang interaktif yang diilhamkan daripada gong Kaamatan. Menggabungkan budaya tempatan dengan kuasa kesalinghubungan, setiap paluan akan mencetuskan paparan motif tempatan yang memukau dalam bentuk cahaya dan warna.
Sepanjang sambutan ini, pengunjung berpeluang menyertai bengkel serta persembahan gendang untuk memenangi barangan eksklusif Maxis, termasuk Maxis Dinocorn & Friends. Kemuncak kemeriahan bakal berlangsung pada hujung minggu terakhir menerusi cabaran irama, dengan pelbagai hadiah menarik untuk dimenangi, antaranya jam pintar dan pembesar suara.
Bagi menambah kemeriahan, setiap pendaftaran baharu untuk pelan mudah alih dan telefon pintar di ruang pameran ini akan melayakkan pelanggan untuk menyertai cabutan bertuah. Sepuluh pemenang bertuah akan berpeluang mengambil bahagian dalam “60 Seconds Fill Your Trolley Challenge”, di mana Maxis akan menaja sepenuhnya pembelian barangan keperluan harian mereka.
Dengan “Aramaiti! Gema Jiwa Kaamatan”, Maxis mengolah semula irama dan tradisi pesta menuai menerusi pengalaman yang dikongsi bersama.