Maxis diiktiraf sebagai Ikon Transformasi Rangkaian untuk Prestasi di The Fast Mode Awards 2025
Prushothma Rao, Ketua Pegawai Eksekutif & Pengasas, The Fast Mode; Sellappan Periasamy, Ketua Kejuruteraan Rangkaian & Reka Bentuk, Maxis; Yap Chee Sun, Ketua Pegawai Rangkaian, Maxis; Vimalshwaren Mahalingam, Ketua Kejuruteraan Rangkaian Teras, Maxis; Thong Chee Hoong, Ketua Rangkaian Teras, NSS & Strategi Peranti, Maxis; Chari TVT, Ahli Lembaga Pengarah, PT Link Net Tbk.
Maxis telah dianugerahkan gelaran ‘Ikon Transformasi Rangkaian – Prestasi’ oleh penerbitan telekomunikasi antarabangsa, The Fast Mode, dalam program anugerah 2025 mereka. Pengiktirafan ini menggariskan usaha berterusan Syarikat untuk mempertingkatkan infrastruktur rangkaiannya, serta mengukuhkan komitmennya untuk menyediakan kesalinghubungan yang pantas, diyakini dan selamat untuk semua rakyat Malaysia.
Anugerah ini mengiktiraf pemodenan Teras Paket Berevolusi (EPC) Maxis, yang menguruskan semua trafik data antara peranti pengguna dan rangkaian luaran. Migrasi kepada seni bina modular yang natif-awan ini menyediakan reka bentuk fleksibel yang menyingkirkan titik kegagalan tunggal.
Infrastruktur yang dinaik taraf ini menyokong keupayaan automatik untuk meningkatkan pengalaman rangkaian. Ini termasuk naik taraf perisian tanpa gangguan perkhidmatan, penskalaan sumber masa nyata, dan pengutamaan aplikasi Over-The-Top (OTT) untuk menguruskan permintaan trafik dengan berkesan.
Transformasi ini telah menghasilkan rangkaian teras yang lebih berskala dan berdaya tahan, membolehkan naik taraf dan pelancaran perkhidmatan tanpa mengganggu kesalinghubungan. Ini memastikan kebolehpercayaan rangkaian yang konsisten dan pengalaman pengguna yang lebih mantap.
“Kami berbesar hati dengan pengiktirafan ini, yang menjadi motivasi untuk terus menambah baik rangkaian kami seiring dengan peningkatan permintaan untuk perkhidmatan digital. Selaras dengan kepercayaan kami bahawa ‘Esok Bermula Hari Ini’ kami kekal komited untuk menyediakan rangkaian yang konsisten dan boleh dipercayai, menghubungkan detik-detik penting bagi rakyat, perniagaan dan negara.” - Yap Chee Sun, Ketua Pegawai Rangkaian Maxis
Teras yang dimodenkan ini juga dilengkapi dengan integrasi Antara Muka Pengaturcaraan Aplikasi (API) Terbuka. Ini membolehkan Maxis bekerjasama dengan penyedia pihak ketiga untuk membangunkan perkhidmatan digital baharu merentasi pelbagai industri.
Anugerah The Fast Mode 2025 telah disampaikan di satu majlis yang diadakan di Kuala Lumpur baru-baru ini, dipilih daripada lebih 300 pencalonan yang dinilai oleh panel pakar industri global. Secara khususnya, kategori ‘Prestasi’ menilai kejayaan sesebuah syarikat telekomunikasi dalam melaksanakan program rangkaian yang kompleks, termasuk kekuatan dalam strategi, perancangan dan kepakaran teknikal.