Maxis memperkasa usahawan Sabah dengan kemahiran digital, memacu pertumbuhan hasil sebanyak 57%

 Maxis equips Sabah entrepreneurs with digital skills, driving 57% revenue growth

(Barisan hadapan, keempat hingga keenam dari kiri) Muhammad Sallehuddin bin Mohd Dilif, Ketua Penolong Setiausaha, Bahagian Pembangunan Halal dan Vendor Seksyen Pembangunan Halal, Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (KUSKOP); Azizul Abdul Rahman, Ketua Pegawai Hal Ehwal Korporat, Maxis; dan Larainn Jaminih, Pengurus, Perkhidmatan Korporat, Sabah Creative Economy and Innovation Centre (SCENIC), bersama para graduan Sabah.

Maxis meraikan graduasi 52 usahawan Sabah yang berjaya menamatkan Program Pemecutan eKelas Usahawan, sebuah program peningkatan kemahiran digital selama tiga bulan. Dilaksanakan dengan kerjasama Sabah Creative Economy and Innovation Centre (SCENIC), peneraju utama dalam memacu inovasi dan pertumbuhan ekonomi digital di Sabah, program ini juga merupakan sebahagian daripada kerjasama strategik yang lebih luas antara Maxis dan Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (KUSKOP) untuk menyokong pembangunan keusahawanan tempatan.

Dengan mengaplikasikan kemahiran pemasaran digital untuk mengembangkan perniagaan mereka secara dalam talian, kumpulan ini berjaya mencatatkan purata peningkatan hasil bulanan sebanyak 57%. Terdiri daripada usahawan dari komuniti bandar dan luar bandar di seluruh Sabah, mereka mewakili pelbagai industri seperti makanan dan minuman, perkhidmatan serta kraftangan.

Melalui program ini, para peserta menggunakan alat berasaskan Kecerdasan Buatan (AI) untuk mereka bentuk bahan promosi, mengurus platform media sosial serta merangka strategi kandungan dengan lebih berkesan. Hasilnya, mereka berjaya beralih daripada menghasilkan hantaran yang hanya tertumpu kepada produk, kepada pelbagai kandungan yang lebih menarik, termasuklah video di sebalik tabir, testimoni pelanggan serta tip-tip pendidikan.

quote

"Maxis berbangga dapat terus menyokong komuniti di Sabah dalam usaha mempertingkatkan keupayaan digital mereka. Adalah amat menggalakkan untuk melihat para peserta memanfaatkan AI bagi mencipta kandungan yang lebih memberi kesan serta menjangkau pelanggan baharu secara dalam talian. Ini selari dengan pegangan kami, 'Esok Bermula Hari Ini’, dalam usaha memupuk jaringan yang membolehkan para usahawan berhubung dan meneroka peluang baharu." - Azizul Abdul Rahman, Ketua Pegawai Hal Ehwal Korporat Maxis

quote

"Kejayaan kohort ini mencerminkan potensi komuniti perniagaan Sabah apabila diberikan sokongan yang padu. Kemajuan mereka membuktikan bagaimana penerimagunaan digital mampu memacu pertumbuhan yang bermakna, manakala kerjasama sesama rakan usahawan menggalakkan pembelajaran berterusan. Usaha ini selari dengan komitmen berterusan SCENIC untuk memperkukuh ekonomi kreatif dan ekosistem inovasi Sabah dengan melengkapkan perniagaan tempatan dengan pengetahuan, jaringan dan peluang yang diperlukan untuk berkembang dalam ekonomi yang semakin digital. Kami berbesar hati dapat bekerjasama dengan Maxis dalam membina ekosistem keusahawanan yang lebih inklusif dan berdaya tahan di Sabah,” - Mohd Lan Muslim, Ketua Pegawai Eksekutif SCENIC.

Graduan Sylvia Desmond Lee, pengasas Alternative Crafts, berkongsi pandangannya mengenai impak program tersebut yang melangkaui pembangunan perniagaan, menerusi penglibatannya dalam jaringan alumni.

quote

“Program ini telah mengubah pendekatan saya terhadap pemasaran. Kini, saya menggunakan alat berasaskan AI untuk memahami pelanggan dengan lebih baik dan membina kehadiran dalam talian yang lebih kukuh. Ia juga memberi saya keyakinan untuk terus belajar daripada mereka yang melalui perjalanan yang sama. Komuniti ini turut menunjukkan saya bahawa pertumbuhan perniagaan bukan sekadar tentang kejayaan individu, tetapi juga tentang maju bersama,” - Sylvia Desmond Lee, pengasas Alternative Crafts

Archives
Tags