Dari visi kepada realiti: Hotlink Uni Legends 2025 memperkasa pelajar merealisasikan acara impian kampus

Hotlink telah berjaya melabuhkan tirai cabaran Hotlink Uni Legends 2025 dengan penganjuran tiga festival yang diterajui oleh pelajar dari universiti tempatan, sekali gus menyemarakkan kampus mereka sebagai hab dinamik yang sarat dengan inovasi dan semangat kebersamaan.

Pelajar-pelajar Malaysia ini berjaya merealisasikan idea acara yang bercita-cita tinggi dengan sokongan pembiayaan, usaha pemasaran serta bimbingan daripada Hotlink.

quote

“Menyaksikan visi para pelajar direalisasikan di seluruh kampus merupakan satu detik yang amat membanggakan buat kami semua. Sepanjang perjalanan ini, kami telah melihat pertumbuhan serta daya tahan luar biasa dalam kalangan pelajar ini. Kami yakin kemahiran kepimpinan yang diperoleh melalui pengalaman ini akan memperkasa mereka untuk terus berinovasi dan memimpin komuniti masing-masing pada masa hadapan.” - Ketua Pegawai Perniagaan Pengguna Maxis, Loh Keh Jiat

Perjalanan dari idea ke realiti

Hotlink Uni Legends 2025 bermula pada Jun 2025 dengan menjemput pelajar dari institusi pengajian tinggi awam di seluruh negara untuk mengemukakan cadangan acara yang mampu menarik lebih 5,000 peserta. Selepas melalui proses pemilihan yang kompetitif, 10 pasukan terpilih telah membentangkan idea masing-masing kepada panel pemimpin industri di Menara Maxis.

Tiga pasukan pemenang telah dipilih — Pasukan Gegaqsters (Universiti Sains Malaysia, Nibong Tebal, Pulau Pinang), Pasukan JSP UiTM Jasin (Universiti Teknologi MARA, Jasin, Melaka) dan Pasukan Jawatankuasa Perwakilan Kolej Sesi 2024/2025 (Universiti Teknologi MARA, Kota Kinabalu, Sabah). Dengan sokongan sumber dan bimbingan Hotlink, ketiga-tiga pasukan ini terus mengorak langkah untuk merealisasikan acara impian mereka.

Sorotan acara

Acara pertama berlangsung di Sabah menerusi Karnival Kolej (KARKOL) Ke-16 di UiTM Kota Kinabalu dari 18 Oktober 2025 hingga 3 November 2025. Sebagai karnival terbesar yang pernah dianjurkan di kampus tersebut, acara selama dua minggu ini berjaya memupuk semangat perpaduan dalam kalangan pelajar kolej menerusi 39 aktiviti yang pelbagai. Antara acara tumpuan ialah pertandingan nyanyian “Golden Voice of UiTM”, yang menyaksikan 15 finalis bersaing merebut gelaran juara termasuk Anugerah Pilihan Hotlink. Pasukan Jawatankuasa Perwakilan Kolej Sesi 2024/2025 berkongsi bahawa, “Acara ini mencipta banyak kenangan bermakna, bermula daripada pembentangan idea di Kuala Lumpur sehinggalah hari terakhir KARKOL.

Hotlink Uni Legends 2025 - Karnival Kolej (KARKOL) Ke-16 at UiTM Kota Kinabalu

Kapsyen foto: Pemenang pertandingan nyanyian “Golden Voice of UiTM” yang diadakan sempena Festival KARKOL 16 di UiTM Kota Kinabalu.

Di Semenanjung Malaysia, UniXplode 2025 telah menjadikan UiTM Jasin, Melaka, sebagai hab komuniti dari 14 hingga 16 November. Festival selama tiga hari ini berjaya menghimpunkan lebih 11,000 pengunjung melalui empat zon khusus: Zon Kejohanan, Zon Santai, Zon Ekstrem dan Zon Gerai. Antara sorotan utama termasuk larian Family Farm Run sejauh 5km yang melibatkan 89 pasukan keluarga, serta aktiviti pengembaraan seperti flying fox dan menunggang ATV. Penganjur pelajar, JSP UiTM Jasin, berkongsi bahawa sesi bimbingan berkala dan panduan logistik daripada Hotlink telah membantu mengurangkan tekanan dalam mengendalikan acara kampus besar pertama mereka. “Sokongan Hotlink menjadikan keseluruhan pengalaman ini lebih mudah dan menyeronokkan. Ia satu pengalaman yang bermakna dan kami amat berterima kasih atas peluang yang diberikan,” kata mereka.

Hotlink Uni Legends 2025 - Family Farm Run held during UniXplode 2025

Kapsyen foto: Lebih 300 peserta, termasuk 89 pasukan keluarga, menyertai Family Farm Run yang diadakan sempena UniXplode 2025.

Siri acara ini diakhiri dengan Festival Gegaq25 di USM Nibong Tebal, Pulau Pinang dari 5 hingga 7 Disember 2025. Acara mega selama tiga hari ini menarik kehadiran lebih 16,000 pengunjung. Festival ini menampilkan persembahan artis popular seperti Bunkface dan Sofazr, Unity Run, pelbagai pertandingan sukan serta bengkel kemahiran digital. Jawatankuasa penganjur yang terdiri daripada hampir 200 ahli sekretariat pelajar menyifatkan pengalaman ini sebagai satu “titik perubahan” dalam pembentukan keyakinan dan semangat kerja berpasukan mereka, serta mengukuhkan keupayaan mereka untuk melaksanakan inisiatif berskala besar.

Hotlink Uni Legends 2025 - Festival Gegaq25

Kapsyen foto: Jawatankuasa penganjur Festival Gegaq25 di USM Nibong Tebal, Pulau Pinang.

Memperkasa komuniti belia

Hotlink Uni Legends didorong oleh semangat ‘pasti mampu’ yang sama dalam menawarkan nilai maksimum kepada pengguna. Inisiatif belia ini berkembang daripada fokus e-sukan pada tahun 2024 kepada penjanaan idea acara kreatif pada tahun 2025, sekali gus memberi peluang kepada lebih ramai pelajar untuk menampilkan kepimpinan, kemahiran komunikasi serta bakat di peringkat nasional.

Archives
Tags