Maxis perkenalkan penyelesaian Rangkaian Selamat Kuantum pertama di Malaysia untuk memperkukuh agensi kerajaan dan perniagaan

Maxis Berhad (Maxis) telah memperkenalkan penyelesaian Rangkaian Selamat Kuantum (Quantum Safe Networking atau QSN) pertama di Malaysia untuk agensi kerajaan dan perniagaan, menjadikannya telco pertama di negara ini yang menawarkan keupayaan keselamatan termaju ini. Ditawarkan melalui Maxis Business, cabang B2B syarikat, dengan kerjasama Nokia, perkhidmatan terurus tersebut menyulitkan data secara langsung di lapisan optik, melindungi data kritikal daripada ancaman kuantum masa hadapan serta memperkasa perniagaan dalam era kecerdasan buatan (AI) dan awan.
Penyelesaian ini telah dipamerkan kepada Menteri Digital, YB Tuan Gobind Singh Deo di acara Cyber Digital Services, Defence and Security Asia (CyberDSA) 2025 yang dikuasakan oleh Maxis Business. Bertempat di Malaysia International Trade and Exhibition Centre (MITEC), pameran Maxis Business bertemakan ‘Building Tomorrow’s Security Today’ menampilkan QSN bersama penyelesaian inovatif lain seperti pemantauan rangkaian, keterlihatan lapangan masa nyata, serta tenaga solar.
Penyelesaian ini memastikan penyulitan data adalah selamat-kuantum (quantum-safe) bagi data dalam transit, sekali gus mengurangkan ancaman mendesak “harvest now, decrypt later”, di mana data yang dipintas hari ini boleh dinyahselit oleh komputer kuantum pada masa hadapan. Ini terutamanya dapat membantu industri kritikal yang mempunyai keperluan ketat terhadap integriti dan kedaulatan data, seperti perkhidmatan kewangan dan perbankan, penjagaan kesihatan, serta sektor awam.
QSN menambah lapisan keselamatan kalis masa depan kepada perkhidmatan sambungan gentian Maxis, khususnya untuk perusahaan, penyedia awan dan institusi kewangan yang bergantung kepada kesalingsambungan pusat data serta pautan gentian berkapasiti tinggi. Ia melengkapkan penyelesaian Data Centre Connect syarikat, yang menyediakan akses selamat dan peribadi kepada penyedia awan utama dan pusat data di seluruh negara untuk perniagaan dalam persekitaran fizikal, hibrid atau multi-awan.
“Dalam era ancaman siber yang semakin meningkat, melindungi data hari ini daripada risiko masa depan adalah keutamaan kritikal bagi mana-mana organisasi. Sebagai telco pertama di Malaysia yang membolehkan rangkaian selamat-kuantum, kami menetapkan penanda aras baharu dalam perlindungan rangkaian, memberikan agensi kerajaan dan perniagaan keyakinan untuk mempercepatkan perjalanan transformasi digital mereka. Ini membuktikan komitmen kami dalam memperkukuhkan daya tahan digital Malaysia, sejajar dengan agenda keselamatan siber negara.” - Prateek Pashine, Ketua Pegawai Perniagaan Perusahaan Maxis
“Kerjasama kami dengan Maxis menangani keperluan perniagaan sebenar — melindungi data dalam penghantaran daripada risiko keselamatan yang semakin berkembang sambil mengekalkan prestasi yang diperlukan oleh perusahaan. Dengan menggabungkan platform gred pembawa Nokia dengan penyulitan selamat-kuantum merentasi rangkaian Maxis, perniagaan di Malaysia dapat melindungi operasi mereka untuk masa hadapan tanpa menjejaskan kelajuan atau kebolehpercayaan.” - Ming Kin Ngiam, Ketua Infrastruktur Rangkaian Asia Tenggara Selatan Nokia
Bagi operasi yang sentiasa aktif dan kesinambungan perniagaan, Maxis telah menyiapkan gentianisasi ke semua pusat data terkemuka di Malaysia — termasuk kemudahan sewaan bersama utama dan kampus penyedia awan — sekali gus membawa mereka dalam rangkaian nasionalnya. Berasaskan ini, Maxis menyediakan sehingga tiga laluan gentian berbeza ke pusat data ini, memberikan perusahaan daya tahan dan ketersediaan tinggi bertaraf industri dengan perjanjian tahap perkhidmatan sehingga 99.999%.
Untuk perlindungan trafik misi-kritikal yang lebih menyeluruh, infrastruktur kukuh ini kini boleh dipertingkat dengan penyulitan selamat-kuantum, memastikan data dalam penghantaran kekal selamat daripada ancaman semasa mahupun risiko kuantum masa hadapan. Bersama-sama, keupayaan ini menyediakan platform berkuasa dan berdaya tahan masa depan yang membantu perniagaan meminimumkan gangguan, melindungi data sensitif, dan beroperasi dengan penuh keyakinan.
Pengenalan QSN mengembangkan lagi rangkaian lengkap penyelesaian hujung ke hujung Maxis Business, yang merangkumi daripada sambungan teras hinggalah penyelesaian digital bersebelahan termasuk Internet Pelbagai Benda (IoT), awan, dan keselamatan siber.
Untuk maklumat lanjut, sila layari: www.maxis.com.my/business.