Konsep runcit baharu Maxis menawarkan pengalaman menyeluruh merangkumi mudah alih, kediaman, perniagaan dan gaya hidup
Maxis hari ini memperkenalkan konsep runcit serba baharu yang memperkukuh strategi penglibatan pelanggan, dengan menghimpunkan pengalaman mudah alih, kediaman, perniagaan dan gaya hidup di bawah satu bumbung.
Ditampilkan menerusi Maxis Centre 1 Utama yang baru dirasmikan, format yang diperbaharui ini beralih daripada urus niaga tradisional kepada pengalaman berteraskan digital yang lebih menarik dan berfokuskan pelanggan. Dengan menggabungkan perkhidmatan teras telekomunikasi bersama penawaran gaya hidup terpilih, konsep baharu ini berteraskan tiga tonggak utama:
- Perjalanan pelanggan yang dipermudah: Susun atur baharu membolehkan pelanggan untuk mencari apa yang mereka perlukan dengan lebih mudah melalui zon khusus untuk peranti, kesalinghubungan kediaman, penyelesaian perniagaan dan ruang penerokaan. Kiosk layan diri yang baharu turut memudahkan pembayaran bil, penggantian SIM dan tambah nilai elektronik.
- Ruang digital interaktif secara langsung: Pengunjung digalakkan untuk mencuba dan meneroka bagaimana teknologi dapat melengkapi kehidupan seharian secara semula jadi, seperti mencuba konsol permainan baharu atau menikmati pengalaman audio kediaman. Platform digital interaktif turut membolehkan pelanggan menyemak liputan gentian dan meneroka tawaran yang tersedia. Ini menyokong perjalanan pelanggan digital-ke-fizikal yang lancar, termasuk kemudahan membuat pesanan di kedai dengan pengambilan segera.
- Kerjasama dengan jenama terpilih: Melangkaui konsep runcit tradisional, format baharu ini mengintegrasikan pelbagai jenama gaya hidup untuk menawarkan pengalaman secara langsung, demonstrasi serta nilai eksklusif. Kerjasama ini memperkayakan pengalaman runcit, mencerminkan cara pelanggan hidup, bekerja, dan kekal aktif.
Dari segi reka bentuk, konsep runcit baharu ini mengetengahkan estetika minimalis bandar yang mesra, melalui penggunaan bahan lestari dengan tona semula jadi serta sentuhan kayu. Struktur modularnya membolehkan ruang runcit untuk diubahsuai dengan lebih fleksibel selari dengan keperluan pelanggan yang sentiasa berubah.
“Konsep baharu ini menyepadukan pengalaman runcit ke dalam kehidupan terhubung seharian secara lancar. Kami mahu pelanggan merasai bagaimana teknologi menjadi sebahagian daripada kehidupan mereka, sementara penggunaan elemen digital memastikan kunjungan yang mudah dan selesa. Ini mewujudkan ruang yang relevan, menarik dan bermatlamat, selari dengan fokus kami untuk memupuk hubungan yang bermakna.” - Loh Keh Jiat, Ketua Pegawai Perniagaan Pengguna Maxis
Konsep runcit baharu ini menandakan satu langkah penting dalam usaha berterusan Maxis untuk memodenkan titik sentuhan runcitnya. Ketika ini, rangkaian runcit Maxis merangkumi 62 Maxis Centre dan lebih daripada 200 kedai rakan niaga di seluruh negara.
Selain Maxis Centre 1 Utama, format runcit baharu ini telah diperkenalkan di Maxis Centre IPC (Petaling Jaya) dan Maxis Centre Aman Central (Alor Setar). Perluasan konsep ini sedang dijalankan mengikuti pelan hala tuju strategik untuk memodenkan semua titik sentuh Maxis di seluruh negara dalam tempoh tiga tahun yang akan datang. Melalui evolusi ruang ini, Maxis berhasrat untuk memberi perkhidmatan yang lebih baik kepada komuniti di seluruh negara serta menyediakan pengalaman konsisten yang berteraskan pelanggan di setiap titik sentuh.