Melaka ICT Holdings lantik Maxis sebagai rakan strategik untuk memacu aspirasi digital Melaka melalui fiberisasi menara telekomunikasi
Melaka ICT Holdings (MICTH) telah melantik Maxis sebagai Rakan Infrastruktur Strategik untuk memacu transformasi digital negeri melalui pelaksanaan fiberisasi di tapak menara telekomunikasi. Inisiatif ini selaras dengan aspirasi pendigitalan Smart Melaka Blueprint 2035 dalam memastikan infrastruktur rangkaian negeri diperkasa dengan sambungan berkapasiti tinggi, kukuh dan berlatensi rendah, sekali gus menyokong pertumbuhan ekonomi digital Melaka.
Di bawah perjanjian ini, Maxis akan menaik taraf sambungan menara telekomunikasi milik MICTH daripada microwave backhaul kepada rangkaian gentian optik berkapasiti tinggi. Langkah ini akan memperkukuh aset telekomunikasi MICTH sebagai tulang belakang digital negeri bagi menyokong penyampaian perkhidmatan 4G dan 5G yang pantas dan stabil di seluruh Melaka.
Kerjasama tersebut dimeterai menerusi majlis pertukaran perjanjian yang diadakan di Kompleks Seri Negeri, Melaka, dan disaksikan oleh Ketua Menteri Melaka, YAB Datuk Seri Utama Ab Rauf bin Yusoh serta Exco Sains, Teknologi, Inovasi dan Komunikasi Digital, Datuk Fairul Nizam bin Roslan. Perjanjian tersebut ditandatangani oleh Ketua Pegawai Eksekutif MICTH, Dr. Nazdiana binti Ab Wahab dan Ketua Pegawai Eksekutif Maxis, Goh Seow Eng.
"Melaka memperkukuh infrastruktur digital dengan meningkatkan sambungan gentian optik menara telekomunikasi daripada 40% kepada 80%, melibatkan 151 menara dan pelaburan sekitar RM30 juta. Langkah ini menyokong Smart Melaka Blueprint 2035 yang menekankan pembangunan Lebuh Raya Digital sebagai asas kepada Internet Kebendaan,kecerdasan buatan, bandar pintar dan ekonomi digital, dilaksanakan secara inklusif agar manfaatnya dinikmati seluruh rakyat, menjadikan Melaka lebih pintar, kompetitif dan bersedia menghadapi era digital." - YAB Datuk Seri Utama Ab Rauf bin Yusoh, Ketua Menteri Melaka
“Kolaborasi strategik bersama Maxis akan mempercepatkan migrasi tapak telekomunikasi milik MICTH daripada sambungan berasaskan microwave kepada rangkaian gentian optik berkapasiti tinggi, sekaligus meningkatkan prestasi rangkaian serta menyokong keperluan digital yang semakin berkembang. Kerjasama ini turut mencerminkan kepentingan sinergi antara sektor awam dan swasta dalam memperkukuh infrastruktur digital negeri Melaka." - Dr. Nazdiana binti Ab. Wahab, Ketua Pegawai Eksekutif MICTH
"Kami melihat projek ini sebagai satu pencapaian penting dalam kerjasama strategik antara Maxis dan MICTH. Melalui fiberisasi menara-menara telekomunikasi ini, kami bukan sahaja memperkukuh asas infrastruktur digital negeri, malah membina rangkaian yang bersedia untuk memenuhi keperluan masa hadapan. Infrastruktur gentian optik berkapasiti tinggi ini akan menyokong permintaan data yang semakin meningkat, menyediakan sambungan berkelajuan tinggi serta berlatensi rendah yang diperlukan oleh perkhidmatan komunikasi mudah alih dan trafik AI." - Ketua Pegawai Eksekutif Maxis, Goh Seow Eng
Selain memperkukuh rangkaian komunikasi mudah alih, pelaksanaan infrastruktur gentian optik ini turut memberi manfaat yang lebih luas kepada komuniti. Setelah dinaik taraf, tapak-tapak menara telekomunikasi tersebut berfungsi sebagai hab sambungan yang membuka laluan kepada peluasan perkhidmatan jalur lebar berkelajuan tinggi ke kawasan perumahan dan komersial di sekitarnya. Pendekatan ini memastikan pelaburan yang dilaksanakan bukan sahaja meningkatkan keupayaan rangkaian telekomunikasi, malah menjadi pemangkin kepada pembangunan ekosistem digital yang lebih inklusif dan mampan untuk Melaka.
Sebagai rakan strategik, Maxis akan turut menawarkan perkhidmatan borong (mobile backhaul) kepada pengendali rangkaian mudah alih (MNO) yang lain. Inisiatif ini akan menggalakkan ekosistem telekomunikasi yang lebih kompetitif dan kolaboratif, di samping mengoptimumkan perkongsian infrastruktur di seluruh negeri Melaka.
Perjanjian ini memperkukuh hubungan kerjasama jangka masa panjang antara MICTH dan Maxis susulan Memorandum Persefahaman (MoU) yang dimeterai pada Oktober 2024 bagi meningkatkan capaian jalur lebar di negeri Melaka. Kedua-dua pihak kekal komited untuk menyokong pembangunan Melaka sebagai sebuah negeri pintar yang mampan dan berdaya tahan.