Maxis raih anugerah teknologi atas inisiatif perintis membanteras penipuan BTS palsu

Maxis wins technology award for pioneering initiative to combat fake BTS scams

Yap Chee Sun, Ketua Pegawai Rangkaian Maxis (ketiga dari kiri), menerima anugerah daripada Nick Atkinson, Pengarang Penyumbang, Asian Business Review (keempat dari kiri), bersama wakil-wakil Maxis yang lain.

Maxis Berhad (Maxis) telah memenangi kategori Digital – Telekomunikasi pada Anugerah Kecemerlangan Teknologi Malaysia (MTEA) 2026 atas Papan Pemuka Pengesanan BTS Palsu (Fake BTS Detection Dashboard). Platform ini mengesan ancaman daripada Stesen Pemancar Pangkalan (BTS) yang tidak sah, atau lebih dikenali sebagai BTS palsu, dengan menyediakan maklumat kritikal bagi menyokong tindakan oleh pihak pengawal selia.

Pihak penipu menggunakan peralatan haram ini untuk meniru menara rangkaian yang sah, seterusnya memperdaya peranti mudah alih berhampiran agar bersambung dengannya. Taktik ini berpotensi mendedahkan pengguna kepada SMS penipuan dan gangguan perkhidmatan setempat.

Bagi menangani ancaman tersebut, papan pemuka BTS palsu ini mengintegrasikan analitik data termaju untuk memantau dan mengenal pasti anomali rangkaian secara berterusan. Platform ini yang dibangunkan secara dalaman amat adaptif bagi memastikan ia dapat membanteras taktik penipuan yang baharu dan sentiasa berubah.

Langkah ini membolehkan pembezaan yang lebih jelas antara isu rangkaian rutin dan aktiviti berniat jahat, di samping menyokong pihak pengawal selia dan Agensi Penguatkuasaan Undang-undang dalam mengambil tindakan lanjut.

Program MTEA tahunan ini mengiktiraf syarikat-syarikat yang menunjukkan inovasi teknologi dan transformasi digital di Malaysia. Anugerah bagi tahun 2026 telah disampaikan dalam sebuah majlis yang diadakan di Kuala Lumpur pada 2 April 2026.

Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) menyambut baik usaha Maxis dalam membendung penipuan BTS palsu. Pengiktirafan ini menekankan kepentingan inovasi yang diterajui industri dalam menangani ancaman baharu. Keupayaan pemantauan rangkaian yang dipertingkatkan menyokong pengesanan pemancaran haram dengan lebih pantas, membolehkan tindakan penguatkuasaan yang berkesan dan memperkukuh perlindungan untuk rakyat Malaysia terhadap risiko penipuan yang sentiasa berubah.

quote

"Memandangkan landskap ancaman terus berubah, pendekatan kami terhadap keselamatan rangkaian juga mesti berubah seiring dengannya. Keupayaan dalaman ini memperkukuh kebolehan kami untuk bertindak balas dengan pantas dan menyokong tindakan penguatkuasaan oleh SKMM dan pihak berkuasa. Kami berbesar hati dengan pengiktirafan ini, yang memperkukuh komitmen kami untuk menyediakan rangkaian yang pantas, diyakini dan selamat, agar pelanggan kami dapat terus berhubung dengan lebih yakin." - Yap Chee Sun, Ketua Pegawai Rangkaian Maxis

Pelaksanaan ini melengkapkan inisiatif menyeluruh Maxis untuk meningkatkan keselamatan rangkaian dengan memperkukuh perlindungan rangkaian sedia ada. Maxis akan terus bekerjasama rapat dengan pihak penguatkuasaan, selaras dengan usaha nasional untuk membanteras penipuan digital.

Archives
Tags