Maxis merintis pembantu pintar dalam aplikasi dipacu AI generatif bersama Google Cloud

Maxis hari ini memperkenalkan Miya (Maxis Intelligence, Your Assistant), menjadikannya syarikat telekomunikasi pertama di Malaysia yang melancarkan pembantu dalam aplikasi berasaskan perbualan yang dipacu AI generatif (gen AI), melalui kerjasama dengan Google Cloud.
Miya dibangunkan menggunakan Customer Engagement Suite daripada Google Cloud, yang merangkumi penyelesaian turnkey serta model Gemini yang berasaskan data sebenar. Pembantu baharu ini direka untuk mengubah pengalaman aplikasi Maxis dengan beralih daripada navigasi menu tradisional kepada perbualan yang lebih intuitif dan lancar. Ia mampu memahami serta memberi respons secara dinamik terhadap pertanyaan dan keperluan pelanggan, sekali gus memberikan sokongan peribadi serta-merta bagi menjimatkan masa pengguna.

Antara ciri utama yang boleh diakses terus melalui tetingkap sembang Miya ialah:
- Pengurusan Bil: Pengguna boleh mengurus kaedah pembayaran, menetapkan debit terus, serta menganalisis bil mereka.
- Perayauan (Roaming): Pelanggan boleh menerima cadangan pas perayauan yang diperibadikan serta menjadualkannya dari awal.
- Semakan Kontrak: Miya membolehkan pengguna menyemak butiran kontrak mereka dengan mudah.
Selain fungsi ini, Miya turut berperanan sebagai panduan pintar untuk produk dan perkhidmatan Maxis. Ia membantu pelanggan mendapatkan panduan umum dan navigasi, memudahkan mereka meneroka peranti terkini atau memahami pelan pascabayar yang berbeza.
“Dengan Miya, kami merealisasikan janji jenama kami ‘Esok Bermula Hari Ini’. Kami sedang mewujudkan pengalaman perbualan pintar yang beroperasi 24/7 dan sentiasa belajar. Kami akan terus menambah baik Miya dengan tahap personalisasi yang lebih mendalam serta keupayaan omnisaluran untuk membina ekosistem sokongan yang benar-benar bersepadu dan bersedia untuk masa depan.” - Loh Keh Jiat, Ketua Perniagaan Pengguna Maxis
“Pencapaian utama Miya terletak pada gabungan ketepatan dan penaakulan canggihnya. Dikuasakan oleh Customer Engagement Suite dan model Gemini daripada Google Cloud yang berasaskan data pihak pertama Maxis sendiri, Miya melangkaui tindak balas linear, kaku dan berskrip seperti pelaksanaan AI tradisional dalam khidmat pelanggan. Pembantu berasaskan AI generatif ini memahami dengan mendalam niat sebenar di sebalik setiap pertanyaan pelanggan, serta menyampaikan maklumat dan cadangan yang disesuaikan bagi memenuhi keperluan kesalinghubungan dan gaya hidup yang pelbagai pada skala besar. Dengan Miya, Maxis berada di barisan hadapan dalam menerapkan AI bertaraf perusahaan untuk mempertingkatkan pengalaman layan diri pelanggan di semua saluran.” - Hana Raja, Pengurus Negara Google Cloud Malaysia
Miya kini sedang diperkenalkan secara berperingkat kepada pengguna aplikasi Maxis versi terkini, yang juga baru-baru ini dikemas kini dengan reka bentuk lebih cerah dan susun atur lebih ringkas untuk navigasi yang lebih mudah. Pelanggan boleh memuat turun versi terkini aplikasi Maxis dari
Apple App Store atau Google Play Store.
Pelancaran Miya menandakan satu lagi pencapaian penting dalam kerjasama strategik antara Maxis dan Google Cloud, yang memberi tumpuan kepada penggunaan AI perusahaan dan analitik data untuk mempertingkatkan pengalaman perniagaan serta pelanggan. Inisiatif ini memperkukuh langkah awal Maxis dalam menggunakan platform AI Google Cloud, termasuk penggunaan Gemini Code Assist dalam operasi dalaman syarikat untuk mempercepatkan pembangunan perisian, serta penerokaan kes guna khidmat pelanggan melalui Vertex AI dan model Gemini pada tahun 2024. Bahagian perusahaan Maxis juga telah melengkapkan portal layan diri digitalnya dengan pembantu digital dipacu AI generatif yang dikenali sebagai Mia bagi pelanggan perniagaan.