Kenyataan mengenai pemulihan perkhidmatan berikutan insiden kebakaran menara di Kuala Kangsar, Perak
Maxis Berhad (Maxis) ingin memaklumkan bahawa perkhidmatan telah pulih sepenuhnya bagi pelanggan yang terjejas berikutan insiden kebakaran di tapak menara telekomunikasi kami di Kampung Kelebor, Kuala Kangsar, Perak pada 27 Disember 2025.
Perkhidmatan telekomunikasi telah dipulihkan secara berperingkat, dan pulih sepenuhnya pada jam 1:03 pagi, 29 Disember 2025. Ini merangkumi semua perkhidmatan yang dikongsi melalui pengaturan Rangkaian Teras Pelbagai Pengendali (MOCN).
Setelah mengesahkan bahawa struktur menara kekal kukuh, pasukan teknikal kami segera menggantikan peralatan radio yang rosak. Langkah ini telah memulihkan sambungan ke tapak yang terjejas serta empat tapak lain yang berhubung dengannya, sekaligus menyelesaikan gangguan perkhidmatan bagi kira-kira 3,000 pelanggan di kawasan sekitar dan pengguna lebuh raya.
Kami sedang bekerjasama rapat dengan Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) dan pihak berkuasa yang berkenaan untuk menyiasat punca kebakaran tersebut.
Maxis juga mengambil maklum kenyataan berhubung insiden ini yang dikeluarkan oleh Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) pada 28 Disember 2025. Kami menegaskan semula komitmen kami untuk mengekalkan standard keselamatan dan kebolehpercayaan rangkaian yang tertinggi. Kami akan terus mematuhi protokol penyelenggaraan yang ketat, menjalankan pemeriksaan teknikal secara berkala, dan memastikan pemantauan berterusan terhadap infrastruktur rangkaian kami.