eKelas Usahawan Maxis tarik minat ramai peserta dan rakan kongsi

  • Lebih 2,400 usahawan sudah dilatih di bawah eKelas Usahawan, melalui bengkel yang diadakan secara fizikal dan maya sejak Mac 2021
  • Usahawan baharu digalakkan untuk mendaftar bagi memanfaatkan modul yang mudah difahami
  • eKelas Usahawan sebahagian daripada tanggungjawab sosial Maxis untuk menyokong komuniti B40 melalui pengunaan digital yang lebih tinggi

Program jangkauan komuniti Maxis, eKelas Usahawan, telah menarik minat yang tinggi daripada PKS mikro, khususnya usahawan wanita, dalam penggunaan digital untuk perniagaan mereka.

Sejak dilancarkan pada Mac 2021, program ini telah berjaya menarik minat lebih 2,400 usahawan tempatan melalui 39 bengkel yang disampaikan secara fizikal dan maya di seluruh negara, dengan maklum balas yang secara amnya positif daripada para peserta. Beberapa sesi juga disokong oleh sukarelawan Maxis sendiri.

eKelas Usahawan merangkumi siri bengkel pemasaran digital dengan pendekatan praktikal dan amali untuk melengkapkan usahawan dengan pengetahuan serta kemahiran asas pemasaran digital.

Berikut adalah apa yang dikatakan oleh sebahagian peserta program ini:

quote

“Melalui eKelas Usahawan Maxis, saya telah memperoleh pengetahuan yang berharga mengenai kemahiran pendigitalan serta pengiklanan dalam talian. Para jurulatih juga memberi kami panduan tentang cara menerapkan kemahiran tersebut di platform yang betul.” - Azliza binti Rumainor, peserta dari Kelantan

quote

“Bengkel digital ini sangat bermanfaat bagi usahawan untuk mempelajari cara memasarkan dan mengiklankan produk mereka untuk menarik lebih ramai pelanggan. Modul-modul mudah difahami, dan saya mendapat banyak bantuan tentang cara menguruskan perniagaan saya dalam talian.” - Noraini Azlan binti Azmi, peserta dari Pulau Pinang

quote

“Saya memperoleh banyak pengetahuan tentang bagaimana untuk menarik dan melibatkan diri dengan pelanggan dengan lebih mendalam, serta untuk mengembangkan perniagaan saya di media sosial. Saya menikmati modul yang dibentangkan dan berterima kasih kepada jurulatih atas bimbingan mereka.” - Norul Suziyana Binti Sulong, peserta dari Terengganu

quote

“Kami berbesar hati melihat eKelas Usahawan mendapat sambutan positif sejak dilancarkan tahun lepas. Kami mempunyai modul yang mudah difahami dan berkesan, namun masih merangkumi petua dan kemahiran asas mengenai pemasaran, fotografi digital, penulisan iklan dan perancangan untuk kempen pemasaran, serta pengiklanan melalui platform dalam talian dan media sosial. Kami berharap agar dapat meningkatkan lagi program ini supaya lebih ramai usahawan dapat meraih manfaat pendigitalan dengan cepat,” - Mariam Bevi Batcha, Ketua Hal Ehwal Korporat Maxis

Sebagai usaha untuk mengadakan bengkel khusus, eKelas Usahawan akan terus bekerjasama dengan agensi-agensi kerajaan dan pertubuhan bukan kerjaan bagi menarik minat dan membantu lebih ramai usahawan dan PKS menerapkan pengetahuan dan alat pemasaran digital asas kepada perniagaan masing-masing.

Peserta yang berminat – sama ada usahawan sedia ada ataupun mereka yang beraspirasi untuk menjadi usahawan, boleh mendaftar untuk eKelas Usahawan secara percuma di https://www.maxis.com.my/en/about-maxis/corporate-responsibility/.

Archives
Tags