Kempen STEM Maxis eKelas kembali menguji kemahiran sedia masa depan 

  • eKelas, program komuniti perdana Maxis, ialah inisiatif pembelajaran digital selepas sekolah yang bertujuan untuk meningkatkan prestasi akademik pelajar sekolah dalam komuniti luar bandar
  • eKelas membawa pembelajaran yang menyeronokkan melalui gabungan tutorial secara langsung, pembelajaran berkumpulan, pertandingan, dan kandungan digital melalui portal dan aplikasi eKelas
  • Kempen STEM yang berlangsung selama dua bulan akan menggabungkan kandungan yang menyeronokkan dan interaktif dengan bengkel secara langsung dan cabaran futuris yang sejajar dengan kurikulum sekolah, serta peluang untuk memenangi hadiah menarik

Cabaran STEM (Sains, Teknologi, Kejuruteraan, dan Matematik) Maxis eKelas, Misi Jelajah Digital, peringkat kebangsaan kini kembali untuk menggalakkan pelajar mengaktifkan kemahiran berfikir mereka untuk bermain dan berimaginasi. Untuk dua bulan akan datang, kemahiran peserta pertandingan ini akan diuji melalui pemikiran kritis dan reka bentuk, penyelesaian masalah serta pemikiran kreatif ketika menjalani misi penerokaan dalam dunia imaginasi pada 2050, yang menggabungkan elemen kendaraan pintar, sekolah dan bandar.

Maxis eKelas, inisiatif pembelajaran digital selepas sekolah untuk pelajar Tahun 4 hingga Tingkatan 5, membawa pembelajaran dengan cara yang menyeronokkan dan menyediakan akses kepada kandungan pendidikan yang berkualiti, selaras dengan Sukatan Pelajaran Malaysia. Bertumpukan Sains, Matematik dan Bahasa Inggeris, pelajar didedahkan kepada pembelajaran berasaskan gabungan tutorial secara langsung, pembelajaran berkumpulan, pertandingan dan kandungan digital melalui portal dan aplikasi eKelas. eKelas kini menyediakan pengalaman pembelajaran digital yang lengkap, termasuk peluang untuk pelajar mengambil bahagian dalam kempen seperti STEM, pertandingan English HIP, dan skim tahunan geran pelajar Anugerah Gemilang. Program ini kini mempunyai lebih daripada 68,000 pelajar yang berhubung melalui portal eKelas. eKelas diiktiraf di bawah Program Imersif Tinggi oleh Kementerian Pendidikan sejak 2019. Melalui ini, Maxis telah berjaya mewujudkan kesedaran tentang eKelas dalam kalangan sekolah-sekolah, setelah menjangkau 1,200 sekolah agar pelajar dapat menyertai serta memanfaatkan program ini.

quote

“Program eKelas ini didorong oleh minat kami terhadap pendidikan, dengan penekanan kepada pembangunan kokurikulum, inovasi dan pencapaian akademik. Cabaran STEM ini memainkan peranan penting kepada eKelas, yang memberi galakan kepada pelajar untuk menyerlahkan potensi kreatif mereka. Kami berbangga untuk menjalankan kempen ini sekali lagi, sekaligus berselaras dengan aspirasi kerajaan mengenai STEM sebagai bahagian signifikan kepada pendidikan untuk mengembangkan tenaga kerja yang mahir dalam era digital ini,” - Gokhan Ogut, Ketua Pegawai Eksekutif Maxis.

Satu forum khas telah diadakan untuk membincangkan kreativiti dan inovasi dalam pendidikan, dengan ahli panel yang terdiri daripada ahli akademik dan teacher-influencer. Pelajar yang hadir juga diberikan peluang untuk mencuba salah satu tugasan dalam pertandingan, di mana mereka diajar tentang asas-asas pemikiran reka bentuk dalam membayangkan masa depan.

 

Tentang Cabaran STEM: Misi Jelajah Digital

Misi Jelajah Digital ialah pertandingan interaktif yang menyeronokkan dan menawarkan kandungan pendidikan dengan pembelajaran dan cabaran baharu yang sejajar dengan kurikulum sekolah. Pertandingan yang bermula dari hari ini sehingga 30 November ini menyasarkan untuk menarik lebih daripada 7,000 peserta berumur 10-17 tahun (Tahun 4 hingga Tingkatan 5). Pelajar yang mengambil bahagian juga akan menerima markah kokurikulum atau kredit Pentaksiran Aktiviti Jasmani Sukan dan Kokurikulum (PAJSK) sambil berpeluang untuk memenangi hadiah menarik, seperti komputer riba dan tablet, termasuk lawatan ekslusif ke Menara Maxis.

Dijalankan sejajar dengan piawaian International Society for Technology in Education (ISTE), pertandingan tahun ini memperkenalkan tiga tonggak baharu dengan modul baharu untuk pelajar, agar mereka dapat mengasah kemahiran dan bersedia untuk pendidikan tinggi kelak:

  • Cabaran Futuris (Dunia pada Tahun 2050): Imaginasi bagi dunia masa depan untuk merangsang pemikiran pelajar, dan melangkaui program STEM yang konvensional
  • Permainan ‘Code a SCRATCH’: Memberi tumpuan kepada pengekodan asas untuk pelajar yang lebih muda dan pengekodan yang lebih canggih untuk pelajar menengah atas
  • Trivia Roblox: Pelajar boleh meneroka dunia Roblox dengan cabaran yang menguji pemikiran kritis dan logik, serta kemahiran menyelesaikan masalah untuk mempersiapkan mereka untuk pendidikan tinggi dengan lebih mendalam

Peserta akan mempunyai akses kepada video penjelasan, nota dan modul sepanjang tempoh pertandingan, di mana mereka boleh mempelajari asas pengekodan dan reka bentuk. Panel dan ceramah khas yang meliputi topik utama STEM dan bengkel tutorial secara langsung juga akan diadakan di Zoom dan YouTube untuk memberikan peserta petua tentang cara menyelesaikan cabaran dan meneroka panduan permainan.

Untuk maklumat lanjut dan untuk mendaftar, layari www.ekelas.com.my/misi2022

Archives
Tags