Amaran: Waspada

Amaran: Waspada

Penipuan SMS yang mengaku sebagai Maxis

Maxis melengkapkan usahawan tempatan Kg. Chengal dengan pengetahuan digital

 

Suasana di kalangan usahawan Kg. Chengal di Ketereh, Kelantan, penuh bersemangat ketika mereka diberi rangsangan untuk meningkatkan perniagaan mereka dengan pengetahuan digital baru-baru ini. Seramai 40 orang peserta mengambil bahagian dalam bengkel latihan digital anjuran Maxis pada 17 Mei sebagai sebahagian daripada inisiatif amal sempena musim Raya.

Mempelajari bagaimana menggunakan media sosial, mencipta kandungan, fotografi dan perakaunan asas, program satu hari tersebut bertujuan untuk melengkapkan para usahawan tempatan di sini dengan alat digital yang tepat serta kemahiran pemasaran untuk membolehkan mereka mengembangkan perniagaan mereka. Mereka juga dilatih bagaimana untuk membuat laman Facebook perniagaan, mengambil foto Instagram, menulis kapsyen menarik dan menggunakan alat pemetaan digital. Seramai 30 orang sukarelawan Maxis dari rantau Kelantan yang mempunyai pelbagai latar belakang digital, komunikasi dan IT telah hadir untuk membantu para peserta.

Acara tersebut diadakan di Pusat Internet Kg. Chengal, di mana program komuniti utama Maxis, iaitu eKelas, telah disampaikan sejak tahun 2017. Selain bengkel pemasaran digital, sukarelawan juga menganjurkan sesi 'Maxis Motivates' untuk para pelajar eKelas di sini. Pada sesi-sesi ini, pekerja Maxis berkongsi kisah dan pengalaman hidup mereka serta menganjurkan pelbagai aktiviti yang menarik, dengan harapan ia dapat memberi inspirasi kepada pelajar dan memperluaskan pengetahuan mereka dalam pelbagai bidang. Pelajar-pelajar eKelas di Kg. Chengal telah mengambil bahagian dalam dua aktiviti, di mana mereka memasang set robotik solar dan set kereta api. Melalui aktiviti-aktiviti ini, kanak-kanak belajar kepentingan kerja berpasukan, ketekunan dan komunikasi dalam menyelesaikan projek.

“Bagi setiap musim perayaan, kami berhasrat untuk menganjurkan aktiviti-aktiviti yang akan memberi manfaat kepada komuniti secara keseluruhannya. Bengkel digital adalah salah satu aktiviti sedemikian. Terdapat ramai usahawan industri kotej di negara yang bersemangat terhadap perniagaan mereka dan mahu berjaya tetapi mungkin kekurangan pengetahuan, terutamanya pengetahuan digital, untuk mengembangkan perniagaan mereka lagi. Oleh itu, kami ingin membantu komuniti di sini membuka potensi mereka melalui teknologi. Kami berharap bahawa sumbangan ini akan memberi manfaat, dan berterima kasih kepada komuniti kerana memberikan peluang kepada kami untuk membantu mereka,” kata Mariam Bevi Batcha, Ketua Pegawai Hal Ehwal Korporat Maxis.

Peserta bengkel Zainorita Zawawi mendapati bengkel tersebut sangat bermanfaat, dan berkata, “Saya telah belajar banyak perkara baru hari ini. Apa yang paling saya suka adalah bagaimana membuat laman Facebook saya lebih menarik. Saya memang mempunyai sebuah laman Facebook tetapi jualan agak terhad. Sekarang, dilengkapi dengan lebih banyak pengetahuan dan kemahiran, saya yakin boleh mendapat lebih banyak jualan atas talian.”

Sukarelawan Maxis Safwan Bin Surkardi, dari Maxis Enterprise, berkongsi perasaan gembiranya terhadap program tersebut. “Saya rasa istimewa dapat mengambil bahagian dalam program ini di mana sebagai sebuah syarikat, kami dapat mengukuhkan hubungan dengan komuniti. Selain itu, untuk perusahaan mikro, saya berasa gembira untuk memperkasakan mereka dengan alat digital dan mengajar mereka cara-cara baru untuk mengembangkan perniagaan mereka lagi.”

Maxis turut memberi kotak-kotak makanan kepada 20 buah keluarga yang miskin. Acara tersebut berakhir dengan komuniti serta sukarelawan bersama-sama menikmati makan malam buka puasa.

Archives
Tags