Maxis catat pertumbuhan 8.5% bagi Keuntungan Selepas Cukai S3 2026

  • Keuntungan Selepas Cukai (PAT): RM447 juta, meningkat 8.5% tahun ke tahun (YoY)
  • EBITDA: RM1.14 bilion, meningkat 3.6% YoY
  • Hasil Perkhidmatan: RM2.27 bilion, meningkat 1.1% YoY
  • Dividen Interim: Diisytiharkan 4.5 sen sesaham


Maxis Berhad (Maxis) hari ini mengumumkan keputusan kewangannya bagi suku ketiga berakhir 30 September 2026, mencatatkan pertumbuhan kewangan yang kukuh didorong oleh pelaksanaan operasi yang berdisiplin serta momentum kukuh merentas segmen perniagaan terasnya.

Syarikat merekodkan peningkatan Keuntungan Selepas Cukai (PAT) sebanyak 8.5% tahun ke tahun (YoY) kepada RM447 juta. Hasil Perkhidmatan meningkat 1.1% YoY kepada RM2.27 bilion, manakala Pendapatan Sebelum Faedah, Cukai, Susut Nilai dan Pelunasan (EBITDA) meningkat sebanyak 3.6% YoY kepada RM1.14 bilion.

Maxis mengekalkan kedudukan tunai yang teguh dengan mencatat Aliran Tunai Bebas Operasi sebanyak RM884 juta. Pengurusan modal kerja yang berdisiplin telah mengimbangi kesan pembayaran kawal selia yang lebih tinggi sepanjang tempoh tersebut. Perbelanjaan modal (Capex) berjumlah RM235 juta, mencerminkan pelaburan strategik yang berterusan dalam peluasan rangkaian gentian optik, pemodenan rangkaian dan naik taraf kapasiti merentas rangkaian bersepadunya.

Berdasarkan prestasi yang stabil dan penjanaan tunai yang kukuh, Lembaga Pengarah telah mengisytiharkan dividen interim sebanyak 4.5 sen sesaham.

Sorotan Segmen S3 2026

  • Mudah Alih Pengguna: Hasil perkhidmatan meningkat 1.4% YoY kepada RM1.59 bilion, disokong oleh peningkatan hasil Pascabayar. Jumlah pelanggan mudah alih berada pada 9.59 juta (turun 2.8% YoY) berikutan pelarasan garis panduan pendaftaran prabayar baharu—satu peralihan yang dijangka dapat memupuk pangkalan pelanggan yang lebih sihat dan bernilai lebih tinggi, dengan tumpuan kepada pengekalan pelanggan jangka panjang serta pemperibadian.
  • Kediaman Pengguna: Hasil perkhidmatan meningkat 0.8% YoY kepada RM257 juta, di samping pengembangan margin yang didorong oleh rangkaian gentian optik binaan Maxis sendiri. Jumlah langganan meningkat 3.6% YoY kepada 816,000, disokong oleh permintaan kukuh untuk tawaran bersepadu.
  • Perniagaan Perusahaan: Hasil perkhidmatan mencecah RM419 juta, meningkat 0.2% YoY. Penawaran Tetap dan Penyelesaian kekal sebagai pemangkin pertumbuhan utama, dipacu oleh permintaan kukuh untuk penyelesaian rangkaian Korporat dan Borong yang menyokong beban kerja AI serta peluasan pusat data. Segmen ini juga terus mengukuhkan kedudukannya dalam pelaksanaan Internet Benda (IoT), khususnya dalam pemeteran pintar dan kenderaan terhubung.
quote

"Prestasi suku ketiga kami mencerminkan kekuatan model operasi dan strategi bersepadu kami. Pelaksanaan yang berdisiplin terus memacu penjanaan tunai yang sihat, sekali gus membolehkan Lembaga Pengarah mengisytiharkan dividen interim sebanyak 4.5 sen sesaham. Dengan momentum yang stabil ini, unjuran setahun penuh kami kekal di landasan." - Goh Seow Eng, Chief Executive Officer of Maxis.

quote

"Kami berterima kasih kepada Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) atas peruntukan spektrum tambahan 2x10 MHz dalam jalur 2,600 MHz baru-baru ini. Seiring dengan pemodenan rangkaian dan initiatif AI kami, ini akan terus meningkatkan pengalaman pelanggan dan memacu pertumbuhan mampan." - Goh Seow Eng, Chief Executive Officer of Maxis.

Inisiatif Utama pada S3 2026

Sepanjang suku ini, Maxis telah memajukan beberapa inisiatif strategik sejajar dengan komitmennya untuk memperkasa ekosistem digital Malaysia:

  1. Kemajuan Infrastruktur Digital: Dipilih oleh Melaka ICT Holdings (MICTH) sebagai Rakan Infrastruktur Strategik untuk menaik taraf menara telekomunikasi milik kerajaan negeri daripada microwave backhaul kepada rangkaian gentian optik berkapasiti tinggi.
  2. Ekosistem Bandar Pintar: Bekerjasama dengan Tanah Makmur Berhad (TMB) untuk mempercepat transformasi digital KotaSAS di Pahang kepada bandar pintar sedia masa hadapan.
  3. Pemodenan Rangkaian & Kesediaan AI: Melaksanakan teknologi pengangkutan optik Nokia untuk memperkukuh kesalinghubungan seluruh negara dan merentas sempadan, bagi memenuhi permintaan perusahaan yang semakin meningkat terhadap AI dan data berkelajuan tinggi.
  4. Pemerkasaan Digital & Peningkatan Kemahiran Perusahaan: Bekerjasama dengan Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (KUSKOP) untuk melancarkan Perkasa Halal, dengan mengintegrasikan modul digital Maxis eKelas Usahawan bagi meningkatkan kemahiran perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS).
Archives
Tags