Maxis mempertingkatkan program GenAI bersama BSTP dan rakan kerjasama baharu untuk membentuk generasi celik AI
Maxis dan Bahagian Sumber dan Teknologi Pendidikan (BSTP), Kementerian Pendidikan (KPM) hari ini melancarkan Program GenAI Maxis eKelas Tahun 2026 yang dipertingkatkan, iaitu satu inisiatif kebangsaan untuk memperkasa lebih daripada 32,000 orang murid dan guru di 400 buah sekolah seluruh negara dengan kemahiran AI yang relevan untuk masa hadapan. Program yang memasuki tahun kedua ini telah beralih daripada penekanan terhadap literasi asas kepada inovasi praktikal yang berteraskan insan.
Inisiatif ini akan meneruskan momentum daripada program rintis pada tahun 2025 yang berjaya melatih lebih daripada 22,000 murid dan guru di seluruh negara. Peserta program rintis tersebut mencatat peningkatan skor median sebanyak 80% dalam pemahaman mereka terhadap AI yang membuktikan keberkesanan program ini.
Bagi tahun 2026, program ini diteruskan dengan model dua cara yang berbeza melalui modul yang direka khusus untuk murid dan guru, serta disokong oleh jurulatih yang dilantik dalam kalangan guru-guru. Tambahan pula, Maxis akan bekerjasama dengan BSTP untuk mengetengahkan amalan terbaik guru dalam mengintegrasikan GenAI dalam pengajaran dan pembelajaran.
Selain meneruskan topik teras yang merangkumi pengenalan kepada GenAI, kejuruteraan prompt dan etika GenAI, program ini turut dipertingkatkan dengan modul projek pengekodan santai (vibe coding). Komponen baharu ini mencabar murid untuk menguasai kemahiran kejuruteraan prompt yang lebih maju, dengan menggunakan alat GenAI untuk penghasilan kandungan digital dan penyelesaian masalah secara aktif.
Sebagai bukti keberkesanan kerjasama awam-swasta, program ini turut diperkukuh menerusi ekosistem rakan kerjasama yang lebih meluas, termasuk Canva Education, Google for Education dan Schola by Creador Foundation. Selaras dengan kepercayaan Maxis tentang kepentingan peningkatan kemahiran AI untuk masa hadapan, rakan-rakan kerjasama ini menyumbang kandungan serta sokongan bagi alat GenAI.
Tahun kedua program ini dilancarkan secara rasmi di Sekolah Menengah Kebangsaan (L) Methodist Sentul, Kuala Lumpur. Seramai 80 orang murid Tingkatan 2 hingga Tingkatan 5 merupakan antara kumpulan terawal yang mengikuti modul baharu program ini.
“Bagi memastikan murid kita mampu menerajui masa depan digital, mereka perlu dilengkapi dengan lebih daripada sekadar pengetahuan asas. Modul tahun kedua ini memenuhi keperluan tersebut dengan memupuk kemahiran digital yang lebih maju, yang diperlukan untuk melahirkan generasi yang benar-benar berdaya saing dan bersedia menghadapi masa hadapan. Di samping itu, dengan memperkasa kemahiran digital guru, kita dapat memastikan kemahiran penting ini terus diterapkan di bilik darjah di seluruh negara dan memanfaatkan lebih ramai murid.” - Aniza binti Kamarulzaman, Pengarah, Bahagian Sumber Teknologi Pendidikan (BSTP), KPM
“Kami menghargai kerjasama erat dengan BSTP, yang membolehkan kami mempertingkatkan program ini ke tahap seterusnya. Selaras dengan kepercayaan kami bahawa ‘Esok Bermula Hari Ini’, kami kini melangkaui pengetahuan asas kepada kemahiran penghasilan praktikal. Ini membolehkan murid menjadi inovator yang akan memainkan peranan aktif dalam membentuk masa depan digital.” - Azizul Abdul Rahman, Ketua Pegawai Hal Ehwal Korporat Maxis
Maxis eKelas merupakan program jangkauan komuniti utama syarikat, iaitu satu inisiatif pembelajaran digital selepas waktu sekolah yang bertujuan meningkatkan prestasi akademik murid dari Tahun 4 hingga Tingkatan 5, terutamanya dalam golongan yang kurang berkemampuan. Program GenAI Maxis eKelas merupakan satu inisiatif utama yang dilaksanakan menerusi bengkel bersemuka dengan kerjasama BSTP bagi memupuk kemahiran AI yang kritikal.
Komitmen Maxis terhadap keterangkuman digital meliputi semua lapisan masyarakat. Syarikat ini turut menganjurkan bengkel Gen AI di Pusat Sebaran Maklumat Nasional (NADI) terpilih bagi meningkatkan kemahiran komuniti setempat, sekali gus memperluaskan akses kepada pengetahuan dan alat AI.