TMB dan Maxis jalin kerjasama strategik untuk memacu KotaSAS sebagai bandar pintar utama Pahang

TMB and Maxis forge strategic partnership to advance KotaSAS as Pahang’s premier smart township

KotaSAS Sdn. Bhd., anak syarikat milik penuh Tanah Makmur Berhad (TMB), dan Maxis Berhad (Maxis) hari ini mengumumkan kerjasama strategik bagi mempercepat pembangunan KotaSAS sebagai bandar pintar yang sedia masa hadapan. Maxis akan menyediakan kesalinghubungan bersepadu serta penyelesaian digital untuk menyokong aspirasi digital bandar tersebut.

Dihasratkan oleh TMB sebagai pembangunan campuran utama di Pahang, KotaSAS bakal menjadi Kawasan Pusat Perniagaan baharu Kuantan serta pusat pentadbiran moden negeri Pahang. Menerusi pembangunan berfasa dalam tempoh sedekad akan datang, bandar ini berada pada kedudukan strategik untuk memanfaatkan pembangunan infrastruktur utama di rantau ini, termasuk sebagai hab ekonomi penting yang disepadukan dengan Laluan Rel Pantai Timur (ECRL).

Pelan induk KotaSAS menitikberatkan gaya hidup pintar dan mampan untuk meningkatkan kualiti hidup penduduk serta menyokong keperluan perniagaan. Sehubungan itu, Maxis akan menyediakan infrastruktur asas serta melaksanakan penyelesaian berasaskan kesalinghubungan melalui rangkaiannya yang pantas, diyakini dan selamat, termasuk:

  • Kesalinghubungan mudah alih dan gentian optik bersepadu: Bagi menyediakan asas digital yang kukuh untuk KotaSAS, Maxis akan menerajui pelaksanaan rangkaian gentian optik di lebih 4,000 premis baharu, di samping menyediakan liputan mudah alih yang menyeluruh.
  • Penyelesaian Bandar Pintar berasaskan kesalinghubungan: Pelaksanaan pelbagai teknologi untuk merealisasikan visi Bandar Pintar KotaSAS, termasuk papan iklan digital, sistem pengurusan lampu jalan, sistem solar, meter tenaga pintar, lampu isyarat trafik dan tiang pintar. Inisiatif ini akan membantu mengoptimumkan penggunaan tenaga, memperkukuh keselamatan awam dan meningkatkan kualiti kehidupan di bandar.
  • Pakej gaya hidup dan perniagaan terhubung: Pakej eksklusif bagi penyambungan gentian optik Maxis, Wi-Fi rumah dan pejabat, serta penyelesaian tenaga solar untuk menyokong gaya hidup dan operasi perniagaan yang lebih terhubung serta mampan di KotaSAS.

Kerjasama ini dimeterai melalui majlis menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) di KotaSAS, Kuantan, dengan kehadiran YAM Tengku Panglima Raja Brigedier Jeneral Tengku Amir Nasser Ibrahim Shah ibni Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah, Pengarah Eksekutif Kumpulan TMB, serta Datuk Johan bin Idris, Pengerusi Maxis. MoU tersebut ditandatangani oleh Dato’ Shahrul Nizam Abdul Aziz, Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan TMB, dan Goh Seow Eng, Ketua Pegawai Eksekutif Maxis.

quote

“KotaSAS dibangunkan sebagai bandar pintar bersepadu untuk menyokong pertumbuhan Pahang pada masa hadapan. Antara pembangunan perintis di Pahang yang mengetengahkan konsep gaya hidup pintar, KotaSAS mencerminkan komitmen kami untuk membina komuniti moden yang sedia masa hadapan. Dengan Maxis sebagai rakan strategik bagi kesalinghubungan dan penyelesaian digital, kami yakin dapat mempercepatkan pelaksanaan visi ini serta menetapkan penanda aras baharu bagi gaya hidup pintar dan mampan di rantau ini” - Dato’ Shahrul Nizam Abdul Aziz, Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan TMB

quote

“TMB mempunyai visi yang jelas untuk KotaSAS, dan Maxis berbesar hati dipilih sebagai rakan strategik bagi kesalinghubungan dan penyelesaian digital untuk merealisasikan pelan induk tersebut. Memandangkan ketersambungan kini menjadi keperluan asas bagi komuniti dan perniagaan, kerjasama ini mencerminkan komitmen bersama kami untuk mempercepatkan transformasi digital Pahang, sekali gus menyokong pertumbuhan berterusan Wilayah Ekonomi Pantai Timur selaras dengan agenda digital Malaysia.” - Goh Seow Eng, Ketua Pegawai Eksekutif Maxis

Kerjasama ini turut selaras dengan peranan Maxis sebagai rakan telekomunikasi pilihan bagi projek ECRL. Dengan menyediakan kesalinghubungan bagi KotaSAS dan ECRL, inisiatif ini akan mengukuhkan kedudukan Pahang sebagai koridor strategik yang menghubungkan perniagaan, komuniti dan peluang pertumbuhan masa hadapan merentasi Pantai Timur serta Pantai Barat.

Archives
Tags