Maxis raikan graduan Menuju Gemilang, perluas akses pendidikan tinggi untuk belia kurang berkemampuan

Maxis celebrates Menuju Gemilang graduates, advances higher education access for underserved youths

(Berdiri, kelima hingga kesembilan dari kiri) Azizul Abdul Rahman, Ketua Pegawai Hal Ehwal Korporat, Maxis; Datuk Johan Idris, Pengerusi, Maxis; Tuan Zainal Abas, Timbalan Ketua Pengarah Pendidikan Malaysia (Sektor Operasi Sekolah), Kementerian Pendidikan Malaysia; Tuan Haji Mohd Hanafi Samad, Pengarah, Bahagian Pengurusan Sekolah Harian, Kementerian Pendidikan Malaysia; Kartini Sahirin, Timbalan Pengarah, Sektor Pengurusan Pembelajaran, Bahagian Pengurusan Sekolah Harian, Kementerian Pendidikan Malaysia; bersama wakil daripada Jabatan Pendidikan Negeri Selangor dan Jabatan Pendidikan Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, serta pelajar cemerlang Kuala Lumpur dan Selangor daripada kohort sulung program Menuju Gemilang yang menduduki peperiksaan SPM 2025.

Maxis meraikan graduasi kohort sulung program Menuju Gemilang yang menduduki peperiksaan SPM 2025, dengan mengiktiraf 40 pelajar daripada sekolah-sekolah di Kuala Lumpur, Selangor dan Sarawak. Dibangunkan bersama Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM), inisiatif ini membantu pelajar daripada keluarga kurang berkemampuan untuk cemerlang dalam SPM serta bersedia untuk melanjutkan pengajian ke peringkat pendidikan tinggi.

Kohort sulung ini berjaya mencatatkan pencapaian SPM yang memberangsangkan meskipun hanya mengikuti program yang dipercepatkan selama tiga bulan. Berbanding keputusan peperiksaan percubaan, bilangan pelajar yang memperoleh 7A dan ke atas meningkat dua kali ganda kepada 33%, termasuk empat pelajar yang berjaya memperoleh 9A dan ke atas. Selain itu, Maxis turut menganugerahkan geran pendidikan berjumlah RM50,000 kepada para pelajar terbaik bagi membantu mereka meneruskan pengajian.

Dirasmikan oleh Tuan Zainal Abas, Timbalan Ketua Pengarah Pendidikan Malaysia (Sektor Operasi Sekolah), KPM, majlis tersebut turut menyambut 200 pelajar baharu ke dalam program ini, menjadikan jumlah keseluruhan kohort tahun 2026 seramai 400 pelajar. Datuk Johan Idris, Pengerusi Maxis, turut hadir untuk meraikan kejayaan para pelajar serta menyampaikan kata-kata semangat.

Selain bimbingan akademik, Menuju Gemilang turut menyediakan kem STEM dan kem kepimpinan bagi membantu pelajar membuat persediaan ke peringkat pengajian tinggi. Bagi memastikan pelajar terus menerima sokongan selepas SPM, termasuklah bimbingan berkaitan laluan pendidikan dan peluang biasiswa, tempoh program ini telah dilanjutkan daripada 18 kepada 24 bulan. Setiap pelajar turut diberi komputer riba untuk digunakan sepanjang program dan selepas tamat program bagi menyokong pengajian mereka.

quote

“Setiap pelajar berhak mendapat peluang untuk berjaya. Selaras dengan aspirasi Rancangan Pendidikan Malaysia 2026-2035, kerjasama kami bersama Maxis membantu memperkasakan belia daripada komuniti yang kurang mendapat peluang, agar menjadi individu berkemahiran dan seimbang, yang bersedia untuk melangkah ke alam universiti. Para graduan hari ini membuktikan bahawa dengan sokongan yang wajar, kejayaan mampu dicapai, dan saya berharap kejayaan mereka akan menjadi inspirasi kepada kohort baharu untuk melakar pencapaian yang lebih cemerlang,” - Tuan Zainal

quote

“Berpandukan janji jenama kami, Esok Bermula Hari Ini, Maxis komited memperkasakan generasi masa depan Malaysia. Kami membangunkan Menuju Gemilang untuk merapatkan jurang peluang, sekali gus memastikan aspirasi melanjutkan pengajian ke universiti dapat direalisasikan oleh pelajar berpotensi tinggi daripada pelbagai latar belakang. Kami amat berbangga dengan pencapaian para graduan hari ini dan berharap dapat terus menyokong kohort baharu dalam perjalanan mereka,” - Azizul Abdul Rahman, Ketua Pegawai Hal Ehwal Korporat Maxis

Selain pencapaian akademik, dua pelajar terbaik daripada program ini turut berkongsi bagaimana Menuju Gemilang telah memberi mereka keyakinan untuk mengejar cita-cita masing-masing.

quote

“Menuju Gemilang menyedarkan saya bahawa melanjutkan pengajian ke universiti bukan sekadar impian, tetapi sesuatu yang mampu saya usahakan. Program ini bukan sahaja membantu saya meningkatkan prestasi akademik, malah membuka mata saya terhadap potensi diri yang sebenar. Kini, saya berharap dapat melanjutkan pengajian dalam bidang pertanian di Universiti Putra Malaysia (UPM) supaya suatu hari nanti saya dapat memanfaatkan ilmu yang diperoleh untuk memajukan ladang keluarga,” - Chua Pak Ron, yang memperoleh 10A dan kini sedang melanjutkan pengajian di Kolej Matrikulasi Melaka

quote

“Program ini telah banyak membantu meningkatkan prestasi akademik saya, terutamanya dalam mata pelajaran Sejarah, Biologi, Kimia dan Fizik. Para tutor juga telah membantu mengukuhkan pemahaman saya terhadap asas setiap mata pelajaran serta memperbaiki teknik menjawab soalan, sekali gus meningkatkan keyakinan saya untuk menghadapi peperiksaan. Berbekalkan pengalaman ini, saya berazam untuk melanjutkan pengajian dalam bidang Sains Aktuari di Universiti Malaya,” - Lan You An, yang memperoleh 10A dan kini sedang mengikuti pengajian di Kolej Matrikulasi Selangor

Menuju Gemilang merupakan perluasan kepada Maxis eKelas, inisiatif pembelajaran digital utama Maxis untuk komuniti B40. Dilancarkan pada tahun 2025, program ini bermula dengan penyertaan 240 pelajar daripada 20 sekolah terpilih oleh Kementerian Pendidikan Malaysia di Kuala Lumpur, Selangor dan Sarawak. Para peserta dipilih berdasarkan pencapaian akademik, penglibatan dalam aktiviti kokurikulum serta potensi kepimpinan.

Archives
Tags