Maxis bekerjasama dengan Kementerian Pendidikan untuk memperkasa murid B40 ke arah kejayaan akademik dan pendidikan tinggi

- Program perdana selama 18 bulan untuk membantu murid B40 mencapai kecemerlangan dalam SPM dan meneroka peluang pengajian tinggi.
- Murid akan disokong daripada segi akademik, pembangunan kepimpinan, pembinaan komuniti, dan bimbingan permohonan biasiswa untuk pengajian tinggi.
- Sebanyak 240 murid dari 20 sekolah di Kuala Lumpur, Selangor dan Sarawak telah diplih untuk program perdana ini.
Maxis hari ini mengumumkan pengembangan besar inisiatif komuniti utamanya, Maxis eKelas, untuk memperkasa murid daripada golongan B40 ke arah kejayaan akademik dan pengajian tinggi. Melalui kerjasama dengan Kementerian Pendidikan, Maxis melancarkan program perdana 18 bulan Menuju Gemilang 2025, supaya dapat mewujudkan laluan kepada murid kurang berkemampuan untuk cemerlang dalam peperiksaan SPM dan mencapai peluang pendidikan tinggi.
Program ini dibina berasaskan empat tonggak utama untuk menyediakan pembangunan murid yang komprehensif. Antara inisiatif yang disediakan termasuk sokongan akademik untuk kecemerlangan SPM, latihan kepimpinan, pembinaan komuniti dan panduan permohonan biasiswa ke peringkat pengajian tinggi.
Majlis pelancaran program telah disempurnakan oleh Tuan Zainal Abas, Timbalan Ketua Pengarah Pendidikan Malaysia (Sektor Operasi Sekolah). Beliau turut diiringi oleh murid-murid terpilih daripada kohort perintis dan guru-guru, dengan keseluruhan kohort terdiri daripada 240 murid cemerlang akademik Tingkatan 4 dan 5 dari Kuala Lumpur, Selangor dan Sarawak.
Sebanyak 20 buah sekolah telah dipilih secara khusus oleh Kementerian Pendidikan untuk program perdana ini. Para peserta dikenal pasti melalui proses pemilihan yang kompetitif berdasarkan prestasi akademik yang memberangsangkan, penyertaan aktif dalam aktiviti kokurikulum dan ciri-ciri kepimpinan.
“Kami berbesar hati menyokong kerjasama awam-swasta yang memberikan murid kita peluang yang berharga untuk berjaya dalam bilik darjah dan melanjutkan pelajaran. Dengan menggabungkan sokongan Maxis bersama rangka pendidikan, kami dapat memperkasakan murid berpotensi tinggi dengan alat dan kemahiran untuk menjadi inovator dan pemimpin masa depan Malaysia. Kami menggalakkan para murid dan guru agar memanfaatkan peluang ini demi membentuk masa depan yang lebih cerah,” - Tuan Zainal
“Kami sedar bahawa pencapaian akademik perlu dipadankan dengan bimbingan dan sumber yang tepat. Dengan menyokong murid cemerlang daripada golongan kurang berkemampuan, Maxis berhasrat mewujudkan laluan untuk menghubungkan mereka dengan aspirasi mereka melalui pengajian tinggi. Kami berterima kasih kepada ibu bapa yang memberi kami peluang ini, para guru atas dedikasi mereka, dan terutamanya para murid atas komitmen mereka. Program ini mencerminkan kepercayaan kami bahawa Esok Bermula Hari Ini, dan mengukuhkan dedikasi kami untuk membawa impak bermakna dalam kehidupan murid-murid,” - Azizul Abdul Rahman, Ketua Pegawai Hal Ehwal Korporat Maxis
Program Menuju Gemilang bermula dengan sesi onboarding yang direka untuk membangkitkan rasa pemilikan dan visi jangka panjang. Murid diminta untuk menyatakan aspirasi akademik dan masa depan mereka, mewujudkan penanda aras untuk kejayaan mereka setelah menamatkan program. Pada akhir sesi, setiap murid berikrar komitmen mereka kepada program dalam perjalanan mereka ke arah kecemerlangan akademik dan pertumbuhan peribadi.
Dalam persediaan peperiksaan SPM, murid akan mendapat tutorial tambahan dalam lapan subjek: Bahasa Malaysia, Bahasa Inggeris, Matematik, Sejarah, Matematik Tambahan, Fizik, Kimia dan Biologi. Mereka juga akan diberi peperiksaan percubaan bagi kesemua lapan mata pelajaran ini, beserta sesi bengkel Pecutan SPM pada peringkat akhir.
Bagi memastikan setiap peserta mempunyai kelengkapan untuk berjaya, Maxis turut menyediakan sebuah komputer riba kepada setiap murid untuk tempoh 18 bulan, yang akan menjadi milik mereka setelah berjaya menamatkan program. Sumbangan ini membina atas komitmen berterusan Maxis untuk membekalkan murid di komuniti luar bandar dan kurang berkemampuan dengan peralatan yang diperlukan untuk pembelajaran digital, memastikan mereka dapat memperoleh akses kepada sumber seperti platform eKelas Maxis.

Program ini mengembangkan usaha berterusan Maxis untuk merapatkan jurang pembelajaran dalam komuniti di seluruh negara melalui Maxis eKelas. eKelas adalah inisiatif pembelajaran digital selepas waktu persekolahan yang bertujuan meningkatkan prestasi akademik, terutamanya dalam golongan kurang berkemampuan. Ia menawarkan tutorial secara langsung, pembelajaran berkumpulan, pertandingan, dan kandungan digital komprehensif melalui portal web dan aplikasi mudah alih. Pada tahun ini, kurikulum telah diperluaskan untuk merangkumi modul Kecerdasan Buatan Generatif untuk memastikan murid bersedia menghadapi cabaran masa depan.
Untuk maklumat lanjut, layari www.ekelas.com.my.