Maxis dan TD1303 bekerjasama untuk memperkasa pendigitalan usahawan di Terengganu

  • Kerjasama rakan strategik digital akan memanfaatkan keupayaan penyelesaian digital Maxis dan TD1303 untuk membina, melahirkan serta mendigitalkan lebih ramai usahawan di Terengganu
  • Produk dan perkhidmatan Maxis akan tersedia di TD1303, dengan mengabungkan Produk Penyelesaian Maxis dalam bahan latihan untuk bengkel dan program.
  • Maxis komited menyokong komuniti PKS dan mikro-PKS dengan rangkaian salinghubungan terluas dan penyelesaian digital untuk memacu aspirasi digital mereka

Hari ini, Maxis telah bekerjasama dengan TD1303, sebuah agensi di bawah Kerajaan Negeri Terengganu, untuk membina, menubuhkan dan mendigitalkan lebih ramai usahawan dalam negeri. Usahawan dan pemula teknologi memainkan peranan penting sebagai pemacu kepada transformasi dan pertumbuhan ekonomi dan inovasi.

Turut hadir pada majlis pelancaran rakan strategik tersebut ialah Yang Berhormat Mulia Tengku Seri Bijaya Raja Dato’ Tengku Farok Hussin bin Tengku Abdul Jalil, Setiausaha Kerajaan Terengganu. Mengiringi beliau ialah Encik Gokhan Ogut, Ketua Pegawai Eksekutif Maxis dan Yang Berhormat Ariffin bin Deraman, Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan dan Teknologi Digital Negeri Terengganu merangkap Pengerusi TD1303.

Sebagai rakan strategik digital, Maxis akan menawarkan produk dan perkhidmatannya, termasuk penyelesaian perniagaan yang komprehensif di TD1303, ruang kerja sehenti untuk pemula, usahawan muda, e-dagang dan syarikat berkaitan Industri 4.0 dalam negeri. TD1303 juga akan menerapkan penyelesaian Maxis ke dalam acara, latihan keusahawanan serta bengkel yang dilakukan di TD1303.

“Objektif TD1303 adalah untuk menjadi pusat sehenti terkemuka bagi usahawan di Terengganu dengan menawarkan bukan sahaja ruang kerja bersama, tetapi penyelesaian IT, perkakasan dan perisian yang berdaya maju untuk perniagaan mereka. Kami berbesar hati dapat bekerjasama dengan Maxis dan berharap untuk menggunakan produk dan penyelesaian mereka untuk memacu lebih ramai usahawan teknologi di Terengganu,” kata Yang Berhormat Ariffin bin Deraman.

“Kami memuji Kerajaan Negeri Terengganu atas usaha mereka untuk mempromosikan inisiatif Industri 4.0 bagi perniagaan. Kami juga menghargai peluang untuk bekerjasama dengan TD1303 dan menyokong mereka dengan keupayaan dan penyelesaian digital kami untuk membantu usahawan mengembangkan perniagaan mereka supaya mereka terus menerajui dalam dunia yang semakin berubah. Kami percaya dengan potensi dan bakat usahawan di Terengganu dan berharap untuk menjadi sebahagian daripada perjalanan digital mereka,” kata Gokhan Ogut.

Maxis telah lama menyokong komuniti PKS dan mikro-PKS. Sebagai Penyedia Penyelesaian Teknologi untuk Geran Pendigitalan PKS MDEC, Maxis membolehkan PKS yang memohon Geran melalui mereka untuk memilih daripada rangkaian salinghubungan yang luas dan penyelesaian digital, termasuk pemasaran digital, Cloud Point-of-Sales, kerja jarak jauh dan e-Dagang. PKS juga dapat memanfaatkan perkhidmatan daripada satu titik sentuh, dengan pengalaman onboarding digital yang lengkap. Setakat ini, Maxis telah membantu lebih 24,000 PKS melalui Geran.

Sempena pelancaran rakan strategik itu, Maxis juga telah mengadakan bengkel digital pertamanya di Terengganu dengan penyertaan lebih daripada 100 usahawan tempatan melalui eKelas Usahawan. Program jangkauan komuniti Maxis itu terdiri daripada webinar dan bengkel pemasaran digital untuk memperkasakan usahawan dalam membangunkan kehadiran digital yang lebih kukuh. Program percuma itu menawarkan pendekatan praktikal dan amali untuk melengkapkan usahawan dengan alatan dan kemahiran seperti pemasaran digital, fotografi digital, penulisan dan perancangan untuk kempen pemasaran dan pengiklanan melalui platform dalam talian dan sosial.

Untuk maklumat lanjut tentang Penyelesaian Perniagaan Maxis dan Pelan PKS, layari https://business.maxis.com.my/en/SME/.

Archives
Tags