Amaran: Waspada

Amaran: Waspada

Penipuan SMS yang mengaku sebagai Maxis

Celcom, Digi, Maxis tandatangan perjanjian definitif kolaborasi fiber ke pangkalan untuk percepat pelaksanaan bagi pengguna

Celcom, Digi, Maxis tandatangan perjanjian definitif kolaborasi fiber ke pangkalan untuk percepat pelaksanaan bagi pengguna

Celcom Axiata Bhd (“Celcom”), Digi Telecommunications Sdn Bhd (“Digi”, dan Maxis Berhad (“Maxis”) mengumumkan Perjanjian Definitif untuk membangun and berkongsi infrastruktur fiber, bagi pelaksanaan backhaul fiber ke pangkalan yang lebih cekap, serta mengelak pertindihan infrastruktur fiber di negara ini. Kerjasama ini akan membolehkan peningkatan kesalinghubungan 4G kepada rakyat Malaysia dan meningkatkan infrastruktur fiber selaras cita-cita di bawah Pelan Jalinan Digital Negara (JENDELA), serta mempersiapkan infrastruktur menara untuk masa depan 5G.

Ketiga-tiga operator menggabungkan kepakaran mereka dalam perancangan, pembangunan, penyeliaan, operasi dan juga penyelenggaran infrastruktur fiber di seluruh negara. Operator juga akan berusaha memperhebatkan perkongsian infrastruktur fiber dan meningkatkan pengaturan pertukaran bersama.

Kerjasama ini pada dasarnya memanfaatkan kekuatan teknologi fiber untuk melengkapkan gelombang mikro dalam menyediakan kombinasi backhaul yang cekap. Teknologi gelombang mikro membawa pelaksanaan yang pantas, sementara naik taraf infrastruktur fiber juga akan membolehkan ketiga-tiga operator lebih bersedia untuk peningkatan trafik internet terutama di kawasan impak tinggi. Kerjasama ini juga membolehkan industri memperluas backhaul mudah alih 4G untuk menyokong tapak 5G baru dan fiber untuk pengembangan perkhidmatan ke kediaman.

Perkongsian infrastruktur, menara dan lebar jalur bersama operator adalah amalan biasa. Celcom, Digi dan Maxis telah terlibat dalam perkongsian infrastruktur fiber sejak tahun 2005 dengan kapasiti lebar jalur sebagai permulaan, ke perkongsian kabel fiber pada tahun 2010. Perkongsian menara juga telahpun berlangsung sebelum tahun 2000.

Pengumuman ini dibuat setahun setelah ketiga-tiga syarikat telekomunikasi itu menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) untuk meneroka dan memanfaatkan sumber satu sama lain untuk menyebarkan rangkaian fiber yang lebih luas dan lebih cekap, menandakan satu kemajuan penting untuk Malaysia menuju ke negara digital dengan penyediaan kesalinghubungan digital berkualiti di seluruh negara. Selanjutnya, ketika Malaysia mempercepat rancangannya untuk penggunaan 5G sebagai sebahagian daripada cita-cita MyDIGITAL, infrastruktur yang lebih padat diperlukan untuk menyampaikan petunjuk prestasi utama 5G; latensi rendah, kelajuan data yang lebih tinggi, dan keupayaan untuk menguruskan lebih banyak sambungan peranti.

Kerjasama fiber ini efektif untuk 20 tahun. Pada masa ini, perancangan sudah pun berjalan dengan baik untuk persiapan pembinaan bersama dan seterusnya aturan penukaran. Operator lain juga akan berpeluang memanfaatkan kapasiti rangkaian tambahan dari ketiga telko tersebut.

Idham Nawawi, Ketua Pegawai Eksekutif, Celcom:

Kerjasama ini menandakan tonggak utama bagi Celcom dalam memacu cita-cita kami untuk memberikan pengalaman rangkaian yang hebat dan konsisten untuk semua rakyat Malaysia. Kerjasama Celcom dengan Maxis dan Digi, yang juga merupakan pemain telco utama di negara ini, akan menambah kecekapan kos yang lebih efisyen untuk pelaksanaan dan perkhidmatan infrastruktur rangkaian di seluruh negara, dan menyokong permintaan trafik data yang terus meningkat. Celcom akan secara aktif terus berkolaborasi dengan pelbagai industri untuk mewujudkan situasi 'menang bersama' yang akan menguntungkan rakyat, Kerajaan, dan Industri.

Albern Murty, Ketua Pegawai Eksekutif, Digi:

Kerjasama ini akan mewujudkan peluang untuk mengelakkan pertindihan infrastruktur dan membolehkan pertumbuhan kapasiti rangkaian mudah alih yang lebih pantas melalui kecekapan tapak fiber. Kami akan terus meneroka sinergi dalam tujuan bersama kami untuk membawa kesalinghubungan 4G yang berpatutan dan berkualiti tinggi kepada semua pengguna seterusnya membuka jalan bagi teknologi dan perkhidmatan 5G.

Gokhan Ogut, Ketua Pegawai Rangkaian, Maxis:

Kami gembira melihat perkongsian ini maju ke tahap seterusnya kerana ia menyokong cita-cita kolektif kami untuk menyediakan kesalinghubungan fiber yang mantap, meluas, berkualiti tinggi dan berpatutan untuk semua rakyat Malaysia. Perkongsian infrastruktur adalah penting untuk mencapai cita-cita ini dan membolehkan kecekapan yang lebih baik terutama dalam merapatkan jurang digital dan menghasilkan persekitaran yang kondusif bagi teknologi baru seperti 5G. Kami tetap komited untuk memainkan peranan dalam menyokong cita-cita digital negara.

Archives
Tags