Amaran: Waspada

Amaran: Waspada

Penipuan SMS yang mengaku sebagai Maxis

Keuntungan Bersih Maxis Meningkat 11.3% Ke RM530 Juta Bagi Suku Kedua 2013, Margin Ebita Pada 50.8%

Hasil bukan suara yang kukuh; pertumbuhan tahun ke tahun sebanyak 7.5% dan menyumbang 47.7% daripada hasil mudah alih bagi setengah tahun pertama 2013
Peneraju 4G LTE; berjaya berkembang melangkaui Lembah Klang ke Pulau Pinang dan Johor Bahru dan yang pertama menyediakan 4G LTE di Sabah dan Sarawak, bermula dengan Kuching dan Kota Kinabalu
Memenuhi komitmen dividen; mengumumkan dividen interim kedua sebanyak lapan sen sesaham berjumlah RM600 juta

SIARAN AKHBAR
Untuk siaran segera
Kuala Lumpur, 6 Ogos 2013

Keuntungan bersih suku kedua Maxis Berhad (Maxis) meningkat 11.3%, didorong oleh kekukuhan perniagaan bukan suara, khususnya internet mudah alih dan pengurusan kos yang berhemah. Bagi tempoh tiga bulan berakhir 30 Jun 2013, satu-satunya pembekal perkhidmatan komunikasi bersepadu Malaysia melaporkan keuntungan bersih sebanyak RM530 juta, meningkat daripada RM476 juta yang dicatatkan pada suku pertama 2013.

Syarikat mencatatkan hasil perkhidmatan[1] sebanyak RM2,206 juta, peningkatan 0.1% daripada RM2,205 juta pada suku pertama 2013. Ini didorong oleh pertumbuhan kukuh dalam data yang membantu mengatasi penurunan hasil suara dan SMS. Hasil bukan suara untuk suku ini berjumlah RM1,023 juta dan menyumbang 47.6% daripada hasil mudah alih. Walau bagaimanapun, jumlah hasil mengalami penurunan marginal kepada RM2,294 juta berbanding RM2,327 juta yang dicapai pada suku pertama 2013 disebabkan terutamanya oleh penurunan jualan langsung peranti terminal bermargin rendah.

Maxis mencatatkan Perolehan Sebelum Faedah, Cukai, Susut Nilai dan Amortisasi (Earnings Before Interest, Tax, Depreciation and Amortisation - EBITDA) sebanyak RM1,165 juta, 3.8% lebih tinggi daripada suku tahun sebelumnya didorong oleh pengurusan kos yang berhemah. Margin EBITDA meningkat kepada 50.8% dalam tempoh yang sama.

Mengulas mengenai prestasi suku kedua Maxis, YM Raja Tan Sri Dato’ Seri Arshad Raja Tun Uda, Pengerusi Maxis, berkata, “Kami gembira untuk memaklumkan bahawa inisiatif pasaran kami telah menghasilkan kemajuan yang mantap dan terus menjana momentum. Prestasi kami bagi suku ini telah didorong oleh penggunaan internet mudah alih yang lebih tinggi dari pelancaran perkhidmatan data yang inovatif. Penggunaan telefon pintar terus meningkat di kalangan para pelanggan kami, dimana 6.5 juta dari 12.4 juta asas pelanggan kami (tidak termasuk pelanggan dongle jalur lebar) adalah pengguna telefon pintar, mewakili kadar penembusan sebanyak 52%. Meneruskan komitmen kami terhadap pembayaran dividen yang sihat, saya juga sukaciata mengumumkan bahawa Maxis telah mengisytiharkan dividen interim kedua sebanyak 8.0 sen sesaham berjumlah RM600 juta kepada pemegang saham kami.”

Pada suku kedua tahun ini, Maxis telah memperkenalkan perkhidmatan pengiklanan berasaskan lokasi yang pertama di Malaysia sertapelan data Opera Mini untuk pelanggan menikmati pelayaran internet tanpa had. Pelancaran produk-produk dan perkhidmatan inovatif ini menunjukkan kepimpinan berterusan Maxis dalam ruang data.

Maxis juga terus menerajui pasaran dengan jumlah langganan sebanyak 13.9 juta.

Bagi setengah tahun pertama 2013, Maxis mencatat Keuntungan Selepas Cukai (Profit After Tax – PAT) sebanyak RM1,006 juta, bersandarkan pertumbuhan hasil sebanyak 4.0% kepada RM4,621 juta. PAT menerima iimpak  susut nilai yang dipercepatkan untuk peralatan rangkaian sejajar dengan usaha Syarikat dalam terus memodenkan rangkaian untuk menyediakan perkhidmatan 4G LTE, menyebabkan penurunan daripada RM1,039 juta yang dicatatkan pada tahun lepas. Syarikat mencatatkan EBITDA sebanyak RM2,287 juta, peningkatan sebanyak 2.1% daripada RM2,239 juta pada setengah tahun pertama 2012. Margin EBITDA berada pada 49.5%, yang merupakan tertinggi dalam industri.

Maxis terus melabur secara berhemah dalam mengekalkan dan meningkatkan rangkaian, dengan RM407 juta perbelanjaan modal yang dibelanjakan dalam tempoh setengah tahun pertama 2013. Sejak pelancaran rangkaian 4G LTE berkelajuan tinggi pada 1 Januari 2013, Maxis telah berjaya memperluaskan liputan 4G LTE di luar Lembah Klang ke Pulau Pinang dan Johor Bahru. Maxis juga adalah yang pertama untuk menyediakan 4G LTE di Sabah dan Sarawak, bermula dengan Kuching dan Kota Kinabalu.

“Kami terus menerajui pasaran untuk menyediakan para pelanggan dengan pilihan telefon pintar 4G LTE yang paling meluas. Pada akhir bulan Jun 2013, kami mempunyai dekat 250k   pelanggan dengan peranti 4G LTE, dan kami menepati sasaran dalam meluaskan liputan 4G untuk mencecah 18% penduduk Malaysia menjelang akhir tahun ini. Kami akan mengembangkan eko-sistem dengan pelbagai lagi peranti pintar 4G, kandungan dan perkhidmatan yang menarik untuk pengalaman digital yang lebih kaya bagi pelanggan,” tambah Raja Tan Sri Dato’ Seri Arshad.

Mengenai prospek bagi tahun ini, Raja Tan Sri Dato’ Seri Arshad berkata, "Fokus kami bagi 2013 masih kekal sama iaitu untuk terus membina kepimpinan kami dalam perniagaan data, mengutamakan pelanggan kami dalam segala yang kami lakukan dan menjadi syarikat yang paling cekap. Kami akan memacu pertumbuhan dalam perniagaan teras kami sambil melabur dalam perkhidmatan digital masa depan dengan pelaburan berterusan dalam infrastruktur kami untuk memenuhi permintaan pelanggan yang semakin meningkat bagi akses data dan kelajuan yang lebih tinggi. Sebagai satu-satunya pembekal perkhidmatan komunikasi bersepadu di Malaysia, kami berada dalam kedudukan yang baik untuk menawarkan tawaran bersepadu untuk keluarga, masyarakat dan perniagaan. Kami akan terus membenih pasaran dengan peranti pintar dan tawaran pakej yang menarik untuk memastikan pertumbuhan data yang berterusan. Kami mendakap perubahan dalam industri kami dengan menajamkan dan mengukuhkan fokus kepada empat bidang perniagaan teras iaitu perniagaan pengguna, penyelesaian perusahaan, jualan dan perkhidmatan dan perkhidmatan digital. Struktur kami yang baru dan lebih fokus ini akan menyediakan asas yang kukuh untuk keuntungan yang berterusan serta menyokong cita-cita kami untuk berkembang dalam ruang digital.”

- tamat -

 

Mengenai Maxis Berhad

Maxis Berhad adalah satu-satunya penyedia perkhidmatan komunikasi bersepadu di Malaysia dengan jumlah hasil sebanyak RM8.9 bilion pada tahun 2012 dan lebih 14 juta pelanggan. Sebagai salah satu daripada jenama tempatan yang paling dikagumi di Malaysia, Maxis telah berkembang dari sebuah syarikat pengendali mudah alih yang terulung kepada sebuah syarikat yang menawarkan pelbagai perkhidmatan yang memperkayakan kehidupan pelanggannya, sama ada di rumah, di tempat kerja atau ketika bergerak: mudah alih dan suara tetap, mesej, internet mudah alih, jalur lebar berkelajuan tinggi tanpa wayar dan berwayar, dan kandungan dan aplikasi pelbagai skrin – sama ada ianya hiburan, pendidikan, keselamatan atau pengkomputeran awan - melalui rangkaian mudah alih, tetap dan satelit. Maxis telah melancarkan rangkaian berkelajuan tinggi yang pertama di Malaysia termasuk 3G, 3.5G, 3.5G+ dan adalah yang pertama untuk melancarkan 4G LTE (Long Term Evolution - LTE), pada awal tahun ini. Jejak rangkaian berkelajuan tinggi Maxis adalah yang terluas di negara dengan liputan 2G sebanyak 95% dan liputan 3G berkelajuan tinggi sebanyak 82%.

Sebagai penyokong utama ekosistem pembangunan aplikasi Malaysia, Maxis bekerjasama dengan pembangun tempatan untuk membawa aplikasi inovatif kepada pelanggan sementara menyediakan pelbagai jenis kandungan tempatan di pasaran, dengan pilihan Aplikasi percuma yang menarik kepada segmen yang berbeza untuk pelbagai peranti pintar. Usaha Maxis dalam membawa inovasi, memastikan perkhidmatan pelanggan yang cemerlang dan memberi nilai kepada pihak berkepentingan telah membolehkan Syarikat memperoleh pelbagai anugerah termasuk memenangi 20 anugerah di majlis Anugerah Tahunan Pengurusan Perhubungan Pelanggan dan Persatuan Pusat Perhubungan Malaysia (CCAM) ke-13 pada tahun 2012, Pengurusan Syarikat Terbaik, Majikan Terbaik Asia serta Anugerah ‘Putra Brand of the Year’ pada tahun 2011 dan syarikat 5 Teratas bagi Anugerah Pengendali Global Terbaik oleh Anugerah Komunikasi Dunia pada tahun 2012 dan 2010. Komited untuk menyumbang kepada masyarakat di mana Syarikat beroperasi, usaha Tanggungjawab Korporat Maxis memfokus kepada menghasilkan 'Impak Positif', memanfaatkan teknologi canggih bagi mencipta nilai untuk ekonomi, masyarakat dan alam sekitar. Untuk maklumat lanjut, sila layari: maxis.com.my.

Archives
Tags