Amaran: Waspada

Amaran: Waspada

Penipuan SMS yang mengaku sebagai Maxis

Pertandingan Maxis eKelas Misi Jelajah Digital 2024 mempromosi pembangunan kemahiran STEM dalam kalangan pelajar Malaysia

Pertandingan Maxis eKelas Misi Jelajah Digital 2024
  • Cabaran tahunan yang memberi tumpuan kepada peningkatan pengetahuan pelajar bagi mata pelajaran Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik
  • Pertandingan MJD menjemput pelajar untuk memperjuangkan kempen pembangunan lestari
  • Maxis eKelas merupakan program pembelajaran digital selepas sekolah untuk membantu pelajar meningkatkan prestasi akademik mereka
Pertandingan Maxis eKelas Misi Jelajah Digital 2024

Pertandingan Maxis eKelas Misi Jelajah Digital (MJD) meneruskan misi untuk memupuk minat pelajar terhadap mata pelajaran Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM) dengan menggalakkan pelajar untuk mereka bentuk kempen advokasi digital dengan penggunaan alat kecerdasan buatan generatif (GenAI).

Pembangunan kemahiran STEM dalam kalangan pelajar sekolah telah diiktiraf sebagai sesuatu yang penting bagi daya saing Malaysia pada masa depan berdasarkan Dasar Pendidikan Digital. MJD merupakan cabaran STEM tahunan Maxis eKelas yang menyokong pendedahan dan perkembangan kemahiran-kemahiran STEM yang kritikal ini.

Untuk MJD 2024, Maxis eKelas telah menjemput pelajar untuk mencipta kempen digital yang menyokong salah satu daripada Matlamat Pembangunan Mampan (SDG) Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu. Dengan tema “GenAI for Good”, pertandingan MJD tahun ini memberi tumpuan kepada penggunaan harian GenAI secara berhemah, produktif dan kreatif. Pelajar digalakkan untuk melakukan penyelidikan sendiri dan memilih mana-mana daripada 17 matlamat SDG untuk melatih kemahiran membuat gesaan (prompt) dan pemikiran kritis.

quote

"Bahagian Sumber dan Teknologi Pendidikan (BSTP) amat menyokong aktiviti dan program yang dapat membantu peningkatan kemahiran teknologi digital dalam kalangan pelajar dan guru selaras dengan Dasar Pendidikan Digital. Pelibatan aktif rakan strategik yang komited, kerjasama mantap dengan syarikat teknologi, institusi pendidikan tinggi, komuniti dan peserta industri merupakan kunci utama kejayaan Dasar Pendidikan Digital." - Puan Aniza Binti Kamarulzaman, Pengarah Bahagian Sumber Dan Teknologi Pendidikan, Kementerian Pendidikan Malaysia

quote

"Dalam dunia hari ini, pendidikan STEM merupakan asas untuk inovasi dan pembangunan kemahiran akan memberikan pelajar kelebihan dalam merealisasikan potensi mereka pada masa hadapan. Sebagai Rakan DELIMa kepada Kementerian Pendidikan Malaysia, kami berharap bahawa semua pelajar Malaysia dapat memanfaatkan pembelajaran yang disediakan secara percuma melalui Maxis eKelas dan menggunakan kemahiran yang diperolehi untuk menyertai pertandingan MJD serta meningkatkan prestasi akademik.” - Mariam Bevi Batcha, Ketua Pegawai Hal Ehwal Korporat Maxis

Pertandingan Maxis eKelas Misi Jelajah Digital 2024

MJD 2024 telah dilancarkan secara rasmi di Sekolah Menengah Teknik Kuala Lumpur baru-baru ini, diikuti dengan bengkel GenAI yang telah dihadiri oleh 120 pelajar. Bagi membantu lebih ramai pelajar dengan penyertaan cabaran MJD mereka, Maxis eKelas sedang menjalankan siri bengkel secara fizikal di 70 buah sekolah terpilih di Johor, Kelantan, Kuala Lumpur, Pulau Pinang, Sabah dan Selangor. Selain itu, dua bengkel dalam talian juga telah diadakan melalui portal Maxis eKelas.

Bagi cabaran MJD 2024, peserta kategori pelajar sekolah menengah akan diberi panduan tentang cara penggunaan GenAI sebagai salah satu kemahiran digital untuk menghasilkan kempen digital mereka. Peserta kategori pelajar sekolah rendah pula akan diberi panduan tentang penggunaan alat digital untuk melengkapi diri dengan kemahiran yang diperlukan untuk mempromosi SDG pilihan mereka.

Sejak tahun 2016, Maxis eKelas telah membantu pelajar Malaysia untuk meningkatkan prestasi akademik mereka melalui program pembelajaran digital selepas sekolah. Maxis eKelas tersedia untuk semua pelajar Tahun 4 sehingga Tingkatan 5 bagi memperkayakan pembelajaran dengan kaedah yang meriah dan menyeronokkan dan menyediakan akses kepada kandungan pendidikan yang berkualiti melalui sesi tutorial secara langsung, pertandingan, dan pelbagai jenis kandungan digital.

Maxis eKelas tersedia secara percuma kepada semua pelajar Malaysia melalui www.ekelas.com.my ataupun aplikasi mudah alih melalui Google Play ataupun iOS App Store. Sejak 2023, Maxis eKelas juga tersedia melalui portal DELIMa oleh Kementerian Pendidikan Malaysia. Untuk mengetahui lebih lanjut tentang cabaran MJD tahun ini, sila layari www.ekelas.com.my/mjd2024. Tarikh tutup pertandingan MJD ialah 21 Oktober 2024. 

Archives
Tags