Pertandingan Maxis eKelas HIP StoryFest terus serlahkan keyakinan dalam pembelajaran Bahasa Inggeris

  • Pelajar mendapat manfaat melalui sokongan di sekolah, bimbingan maya yang interaktif, kandungan mendalam dan bengkel fizikal
  • Pemenang Pertandingan Maxis eKelas HIP StoryFest mendapat hadiah-hadiah menarik, tingkatkan penguasaan Bahasa Inggeris dan tambahkan keyakinan
  • Peningkatan penyertaan berganda berikutan populariti pertandingan yang semakin meluas

Dalam edisi terkininya, Pertandingan Maxis eKelas HIP (Highly Immersive Programme) StoryFest, sebuah acara tahunan di bawah program komuniti utama Maxis, mendapat sambutan positif daripada pelajar dengan penglibatan yang disasarkan untuk menggalakkan lebih banyak penyertaan.

HIP telah diperkenalkan oleh Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) pada tahun 2016 dengan tujuan meningkatkan penguasaan Bahasa Inggeris pelajar dengan meningkatkan pendedahan mereka kepada bahasa itu melalui pelbagai aktiviti di dalam dan di luar bilik darjah. Sejak 2019, eKelas telah diiktiraf oleh KPM di bawah HIP, di mana pelajar eKelas dari Tahun 4 hingga Tingkatan 5 yang menyertai pertandingan ini boleh mengumpul markah kokurikulum yang dimasukkan dalam sijil sekolah mereka.

Maxis eKelas baru-baru ini menganugerahkan 60 pemenang daripada pelbagai kategori pertandingan dengan hadiah seperti telefon pintar, baucar buku, dan kotak hadiah yang dipenuhi dengan barangan eksklusif eKelas. Di samping itu, pemenang hadiah pertama bagi setiap kategori akan dijemput untuk menghadiri hari pengalaman imersif di Menara Maxis, Kuala Lumpur pada bulan Mac 2023.

quote

"HIP merupakan program penting yang bertujuan untuk mewujudkan persekitaran pembelajaran Bahasa Inggeris yang pelbagai di sekolah. Kami gembira dengan sokongan berterusan Maxis terhadap HIP melalui program eKelas, serta peningkatan penyertaan. Syabas diucapkan kepada semua pemenang! Kami berharap pencapaian mereka akan memberi inspirasi kepada lebih ramai pelajar untuk menyertai pertandingan ini dan memanfaatkan semua peluang pembelajaran," - Dr. Faizulizami Binti Osmin, Ketua Penolong Pengarah di Bahagian Sukan, Kokurikulum dan Kesenian, Kementerian Pendidikan Malaysia

quote

"Kami berbangga untuk menyokong HIP menerusi pertandingan ini untuk tahun kelima berturut-turut. Kami teruja kerana melihat peningkatan yang ketara dalam penyerahan. Tahniah diucapkan kepada semua pemenang dan kepada semua peserta yang bertungkus lumus dalam pertandingan ini. Kami berharap lebih ramai pelajar menyertai Maxis eKelas supaya mereka boleh mendapat manfaat daripada pertandingan yang menyeronokkan ini," - Mariam Bevi Batcha, Ketua Pegawai Hal Ehwal Korporat Maxis

Maxis eKelas membawa pertandingan ini kepada lebih 6,000 pelajar melalui jelajah fizikal dan bengkel bercerita di lebih 30 buah sekolah. Penyertaan kali ini hampir dua kali ganda dengan pelajar menghantar karya asal mereka dalam empat kategori: pengucapan awam, bacaan puisi, penceritaan dan penulisan esei. Terdapat respons dan minat yang positif kerana pelajar di seluruh negara mendapati lebih mudah untuk mengambil bahagian melalui penglibatan bersemuka, terutamanya dengan sokongan daripada sukarelawan Maxis di sekolah mereka.

quote

"Saya menyertai pertandingan ini kerana mahu mengasah bakat saya dalam bercerita, meningkatkan keyakinan dan meningkatkan penguasaan Bahasa Inggeris saya. Matlamat utama saya bukanlah untuk memenangi pertandingan ini, tapi bagi saya, penting untuk mencubanya. Saya berusaha dengan mengambil beberapa rakaman video sehingga storan telefon saya penuh tetapi semuanya berbaloi. Oleh itu, saya berterima kasih kepada Maxis eKelas atas peluang ini," - Fakhira Batrisyia Binti Mas Alham, pemenang pertandingan dan pelajar Tahun 5 dari SMK Cyberjaya, Selangor

Dilancarkan untuk semua pelajar Tahun 4 hingga Tingkatan 5 di sekolah-sekolah seluruh negara pada tahun 2019, Pertandingan Maxis eKelas HIP StoryFest English tahunan menawarkan pelajar akses kepada bimbingan maya melalui video dan nota pembelajaran, bengkel langsung dan latihan yang bertujuan untuk meningkatkan keyakinan mereka dalam menggunakan Bahasa Inggeris.

eKelas ialah program komuniti utama Maxis yang bertujuan untuk meningkatkan prestasi akademik pelajar dalam komuniti luar bandar. Sebagai inisiatif pembelajaran digital selepas sekolah untuk pelajar Tahun 4 hingga Tingkatan 5, program ini membawa pengayaan pembelajaran dengan cara yang menyeronokkan dan bersemangat serta menyediakan akses kepada kandungan pendidikan berkualiti, selaras dengan Sukatan Pelajaran Malaysia. Dengan tumpuan kepada Sains, Matematik, Bahasa Inggeris, Bahasa Melayu dan Sejarah, pelajar didedahkan kepada pembelajaran berasaskan pengalaman melalui kombinasi tutorial secara langsung, pembelajaran berkumpulan, pertandingan dan kandungan digital melalui portal dan aplikasi eKelas. eKelas hari ini menyediakan pengalaman pembelajaran digital yang lengkap, termasuk peluang kepada pelajar untuk mengambil bahagian dalam kempen tahunan seperti pertandingan Bahasa Inggeris dan STEM serta peluang untuk memohon geran pelajar Anugerah Gemilang.

Untuk maklumat lanjut mengenai eKelas, sila layari www.ekelas.com.my.

Archives
Tags