Amaran: Waspada

Amaran: Waspada

Penipuan SMS yang mengaku sebagai Maxis

Akhir Tahun Yang Kukuh Dengan Momentum Positif Ke Tahun 2015

2014 merupakan tahun transformasi bagi Maxis Berhad (Maxis). Syarikat mengakhiri 2014 pada tahap yang tinggi dengan satu lagi suku yang mencatatkan pertumbuhan positif dalam hasil perkhidmatan dan trend meningkat bagi petunjuk operasi. Berbanding dengan momentum yang merosot sejak beberapa tahun yang lalu, Maxis kini melangkah ke tahun 2015 dengan momentum yang positif.

Bagi suku ke-empat berakhir 31 Disember 2014, Maxis mencatatkan pertumbuhan suku tahunan sebanyak 2.2% dalam hasil perkhidmatan, ke RM2,094 juta berbanding RM2,049 juta pada suku ke-tiga 2014. Tahun ini menyaksikan peralihan Maxis daripada sebuah syarikat telekomunikasi tradisional yang berorientasikan suara ke sebuah pemboleh digital semakin mantap. Maxis terus mempertingkatkan hasil data walaupun mengalami impak dari hasil yang terjejas sebanyak RM16 juta berikutan kajian semula harga caj bayar bagi setiap penggunaan (pay-per-use - PPU) untuk pascabayar, sama seperti suku sebelumnya. Dengan pelancaran Maxis ONEplan, Syarikat telah menghapuskan kadar PPU yang amat tinggi bagi data untuk memberi pelanggan pengalaman tanpa kebimbangan. Hasil Internet mudah alih (Mobile Internet - MI) meningkat 8.4% suku ini, didorong oleh momentum yang diperolehi daripada proposisi tanpa kebimbangan dan penembusan telefon pintar yang lebih tinggi. Pada akhir Disember 2014, Maxis mempunyai 8.8 juta pengguna Internet mudah alih dan penembusan telefon pintar dicampur sebanyak 57%. Pendapatan MI kini mencakupi 32% daripada pendapatan mudah alih.

Morten Lundal, Ketua Pegawai Eksekutif Maxis, berkata, “Memang banyak perubahan yang kami perlu lakukan apabila kami melangkah ke tahun 2014 dan dan kami telah berjaya melakukan perkara-perkara tersebut. Peralihan kami kepada sebuah syarikat digital berprestasi tinggi juga semakin mantap. Kami terus berjaya menambahkan lagi pelanggan yang menjana hasil (Revenue Generating Subscriber - RGS) sekali lagi terutamanya dalam segmen prabayar dimana kami mengalami kemerosotan terbesar pada tahun-tahun yang lalu. Suku ini sahaja, pelanggan prabayar baru kami melonjak ke lebih daripada setengah juta. Yang penting sekali, kami telah memperkukuhkan lagi hasil data, dan penggunaan MI yang semakin meningkat sekaligus mengimbangi kemerosotan SMS. Kami juga telah mempertingkatkan dan memodenkan rangkaian kami, yang kini adalah yang terbaik di Malaysia. Dengan rangkaian yang semakin baik serta langkah-langkah proaktif yang telah diambil untuk memberikan pelanggan suatu pengalaman tanpa kebimbangan, jumlah aduan pelanggan kami juga telah berkurangan sebanyak separuh berbanding dengan tahun 2013. Kami amat berbangga dengan pencapaian ini, walau bagaimanapun, pelbagai lagi peningkatan yang perlu dilakukan. Berita baik adalah sekarang, kami mempunyai momentum positif untuk maju ke hadapan dan berada pada kedudukan yang baik untuk menawarkan rangkaian data terulung dan pengalaman pelanggan yang tiada tandingan.”

Pendapatan Sebelum Faedah, Cukai, Susut Nilai dan Pelunasan (Earnings Before Interest, Tax, Depreciation and Amotisation - EBITDA) adalah lebih rendah pada RM1,000 juta berbanding RM1,070 juta pada suku tahun sebelumnya, sejajar dengan perbelanjaan langsung yang lebih tinggi berikutan trafik dan perbelanjaan Jualan dan Pemasaran yang lebih tinggi untuk mengembangkan perniagaan. Sehubungan itu, Syarikat mencatatkan Keuntungan Selepas Cukai (Profit After Tax - PAT) berjumlah RM420 juta bagi suku ini berbanding RM494 juta pada suku ke-tiga 2014.

Maxis melabur RM1.1 bilion dalam perbelanjaan modal pada tahun 2014 untuk pemodenan rangkaian, kapasiti dan peningkatan kualiti serta pengembangan liputan 4G yang terfokus. Liputan penduduk bagi 2G dan 3G yang dimodenkan kini lebih daripada 75%. Maxis meneraju liputan penduduk 4G LTE di negara ini, mendekati satu pertiga daripada penduduk dan meliputi pusat-pusat pasaran utama dan ibu negeri.

Syarikat telah mengumumkan dividen interim ke-empat sebanyak lapan sen sesaham dan akan mengesyorkan dividen akhir sebanyak lapan sen sesaham untuk diluluskan di Mesyuarat Agung Tahunan yang akan datang.

Archives
Tags