Amaran: Waspada

Amaran: Waspada

Penipuan SMS yang mengaku sebagai Maxis

Perkhidmatan Maxis eKelas Kini Disediakan Dengan Pakej Jalur Lebar Wayarles Maxis

Akses kepada perkhidmatan Maxis eKelas diberkaskan dengan pelan Jalur Lebar Wayarles Maxis yang menawarkan para pelajar dan ibu bapa kemudahan dan nilai yang lebih
Pelan nilai-untuk-wang Maxis ini ditawarkan pada hanya RM38 sebulan bagi modem USB 7.2Mbps, bersama dengan kuota 1.5GB dan dua ID akses

SIARAN AKHBAR
Untuk siaran segera
Kuala Lumpur, 26 Ogos 2013

Ibu bapa kini boleh memanfaatkan pakej Jalur Lebar Wayarles Maxis terbaru yang ditawarkan bersama akses tanpa had bagi Maxis eKelas, yang bertujuan untuk mengukuhkan lagi pembelajaran Matematik dan Sains anak-anak mereka di rumah. Satu-satunya pembekal perkhidmatan komunikasi bersepadu di Malaysia, Maxis Berhad (Maxis) hari ini telah melancarkan pelan nilai-untuk-wang, Maxis eKelas dengan pakej Jalur Lebar Wayarles. Pelanggan boleh menikmati perkhidmatan ini untuk hanya RM38 sebulan bagi modem USB 7.2Mbps, bersama dengan kuota 1.5GB dan dua ID akses – satu untuk anak-anak dan satu untuk ibu bapa, bagi tujuan pemantauan.

Maxis eKelas adalah sebuah portal pendidikan interaktif dalam talian yang menawarkan alat bantuan pengajaran dan pembelajaran yang berkesan. Ciri-ciri utama portal Maxis eKelas termasuk keupayaan interaktif, penyesuaian, berasaskan visual, dan eksperimen, pemahaman konsep dan metodologi berasaskan pembelajaran, pengujian, dan perkhidmatan pengukuran prestasi – seperti peperiksaan dalam talian, serta perkhidmatan guru seperti perancangan pembelajaran, tugasan kerja rumah, penilaian dan laporan. Antara modul yang terdapat dalam program Maxis eKelas telah disenaraikan dalam Lampiran.

“Sekolah-sekolah dalam program perintis kami yang telah menggunakan eKelas dalam pengajaran harian dan aktiviti-aktiviti pembelajaran mendapati terdapatnya peningkatan yang signifikan dalam pencapian pelajar, kehadiran dan sikap terhadap mata pelajaran Matematik dan Sains. Berdasarkan maklum balas yang positif ini, kami telah mengambil keputusan untuk menggabungkan akses kepada portal eKelas bersama-sama dengan khidmat Jalur Lebar Wayarles Maxis bagi membolehkan para pelajar dan ibu bapa mengaksesnya di luar sekolah. Maxis eKelas adalah salah satu pilihan yang boleh dimanfaatkan oleh para ibu bapa bagi mempengaruhi secara langsung pencapaian pendidikan anak-anak mereka, segalanya melalui komputer mereka di rumah,” kata T. Kugan, Ketua Perkhidmatan Digital, Maxis Berhad.

“Tambahan lagi, akses ke eKelas adalah ‘white-listed’, yang bermaksud apabila pelanggan menggunakan internet untuk mengakses eKelas, penggunaan mereka tidak akan ditolak daripada kuota internet bulanan, dan mereka boleh menikmati akses tanpa had ke eKelas. Ibu bapa juga boleh diberi jaminan bahawa sukatan pelajaran eKelas adalah sejajar dengan sekolah kebangsaan,” tambah beliau.

Modem USB menawarkan fleksibiliti yang mudah kepada pelanggan, dimana modul pembelajaran boleh diakses di mana-mana sahaja; melalui komputer riba, netbook atau komputer peribadi. Apabila pelanggan telah menggunakan sepenuhnya kuota bulanan 1.5GB yang diperuntukkan, mereka boleh memilih untuk terus menggunakan internet tanpa caj tambahan pada kelajuan yang perlahan, atau membeli kuota tambahan dengan bayaran yang minima, bermula dari hanya RM8. Pelanggan juga boleh membeli ID tambahan pada hanya RM20 sebulan bagi setiap ID. Bagi pelanggan yang mendaftar untuk Maxis eKelas dengan pakej Jalur Lebar Wayarles Maxis pada tempoh pengenalan, mereka akan mendapat diskaun RM50 daripada yuran pengaktifan yang normal sebanyak RM150.

Pelanggan sedia ada Maxis – telefon mudah alih, gentian, jalur lebar (tetap atau tanpa wayar) – boleh melanggan perkhidmatan eKelas sebagai perkhidmatan tambah nilai pada hanya RM25 sebulan bagi setiap akaun, yang mana ianya ditawarkan dengan dua ID akses, dan membayar RM20 sebulan untuk setiap ID tambahan bagi kanak-kanak.
Portal eKelas merupakan salah satu inisiatif Maxis untuk menyokong usaha-usaha Kerajaan dalam membangunkan dan membantu membina masyarakat masa hadapan yang lebih celik teknologi, dinamik dan inovatif melalui pembelajaran ICT. eKelas menggunakan pendekatan visual untuk memupuk pemahaman konsep dalam mata pelajaran Matematik dan Sains. Terdapat lebih 400 bahan aktiviti Matematik dan Sains dalam talian melalui grafik realistik, set masalah interaktif, dan aktiviti dunia sebenar yang menarik, yang sesuai untuk para pelajar tingkatan 1 hingga 3. Modul-modul ini akan diperluaskan lagi untuk merangkumi modul bagi pelajar tingkatan 4 dan 5. Modul-modul eKelas disediakan dalam Bahasa Inggeris dan akan ditawarkan dalam Bahasa Malaysia pada suku pertama 2014.

Untuk maklumat lanjut mengenai Maxis eKelas dengan pakej Jalur Lebar Wayarles, para pelanggan boleh melayari maxis.com.my/broadband atau melawat Pusat Maxis yang berhampiran.
- End -

 

Nota kepada Editor:

  1. Program Maxis eKelas merupakan hasil perkongsian pintar yang telah dimulakan antara Maxis dan Kementerian Pendidikan pada tahun 2011 untuk menyokong inisiatif berterusan Kerajaan dalam meningkatkan penggunaan ICT di sekolah-sekolah melalui pembelajaran yang interaktif.
  2. Semasa program perintis Maxis eKelas, para pelajar dan guru-guru dari sekolah-sekolah yang mengambil bahagian diberikan alat bantuan pembelajaran dalam talian tambahan, yang berfokus  kepada pemerolehan pengetahuan melalui penyesuaian, eksperimen, pengalaman dan senario dunia sebenar yang relevan.

Mengenai Maxis Berhad

Maxis Berhad adalah satu-satunya penyedia perkhidmatan komunikasi bersepadu di Malaysia dengan jumlah hasil sebanyak RM8.9 bilion pada tahun 2012 dan lebih 14 juta pelanggan. Sebagai salah satu daripada jenama tempatan yang paling dikagumi di Malaysia, Maxis telah berkembang dari sebuah syarikat pengendali mudah alih yang terulung kepada sebuah syarikat yang menawarkan pelbagai perkhidmatan yang memperkayakan kehidupan pelanggannya, sama ada di rumah, di tempat kerja atau ketika bergerak: mudah alih dan suara tetap, mesej, internet mudah alih, jalur lebar berkelajuan tinggi tanpa wayar dan berwayar, dan kandungan dan aplikasi pelbagai skrin – sama ada ianya hiburan, pendidikan, keselamatan atau pengkomputeran awan - melalui rangkaian mudah alih, tetap dan satelit. Maxis telah melancarkan rangkaian berkelajuan tinggi yang pertama di Malaysia termasuk 3G, 3.5G, 3.5G+ dan adalah yang pertama untuk melancarkan 4G LTE (Long Term Evolution - LTE), pada awal tahun ini. Jejak rangkaian berkelajuan tinggi Maxis adalah yang terluas di negara dengan liputan 2G sebanyak 95% dan liputan 3G berkelajuan tinggi sebanyak 82%.

Sebagai penyokong utama ekosistem pembangunan aplikasi Malaysia, Maxis bekerjasama dengan pembangun tempatan untuk membawa aplikasi inovatif kepada pelanggan sementara menyediakan pelbagai jenis kandungan tempatan di pasaran, dengan pilihan Aplikasi percuma yang menarik kepada segmen yang berbeza untuk pelbagai peranti pintar. Usaha Maxis dalam membawa inovasi, memastikan perkhidmatan pelanggan yang cemerlang dan memberi nilai kepada pihak berkepentingan telah membolehkan Syarikat memperoleh pelbagai anugerah termasuk memenangi 20 anugerah di majlis Anugerah Tahunan Pengurusan Perhubungan Pelanggan dan Persatuan Pusat Perhubungan Malaysia (CCAM) ke-13 pada tahun 2012, Pengurusan Syarikat Terbaik, Majikan Terbaik Asia serta Anugerah ‘Putra Brand of the Year’ pada tahun 2011 dan syarikat 5 Teratas bagi Anugerah Pengendali Global Terbaik oleh Anugerah Komunikasi Dunia pada tahun 2012 dan 2010. Komited untuk menyumbang kepada masyarakat di mana Syarikat beroperasi, usaha Tanggungjawab Korporat Maxis memfokus kepada menghasilkan 'Impak Positif', memanfaatkan teknologi canggih bagi mencipta nilai untuk ekonomi, masyarakat dan alam sekitar. Untuk maklumat lanjut, sila layari: maxis.com.my.

Archives
Tags