Keuntungan Bersih Maxis Bagi Tahun 2013 Meningkat Ke RM2.1 Bilion
Hasil yang kukuh didorong oleh data, perniagaan perusahaan (enterprise) dan kediaman (home)
Segmen Perusahaan Tetap menunjukkan potensi dengan pertumbuhan hasil tahun ke tahun sebanyak 18.2%
Memberi pengalaman internet yang terbaik dengan jejak liputan 4G dan tawaran peranti terluas
Menyampaikan komitmen dividen; mengumumkan dividen interim ke-empat sebanyak lapan sen sesaham dan dividen terakhir yang dicadangkan sebanyak lapan sen sesaham, membawa jumlah dividen bagi tahun 2013 ke 40 sen sesaham
Maxis Berhad (Maxis), merekodkan hasil yang stabil, serta Perolehan Sebelum Faedah, Cukai, Susut Nilai dan Amortisasi (Earnings Before Interest, Tax, Depreciation and Amortisation - EBITDA) dan margin EBITDA yang lebih kukuh bagi tahun kewangan berakhir 31 Disember 2013.
Hasil Maxis meningkat sebanyak 1.3% kepada RM9,084 juta bersandarkan sumbangan positif dalam semua segmen perniagaan kecuali segmen Mudah Alih. Tidak termasuk kos Skim Peralihan Kerjaya (Career Transition Scheme - CTS) yang berjumlah RM143 juta, kos kandungan yang telah dihapus kira sebanyak RM4 juta, dan peruntukan untuk komitment kontrak berkaitan dengan perkhidmatan Kediaman sebanyak RM65 juta, EBITDA yang dinormalkan meningkat 3.7% ke RM4,522 juta dan Margin EBITDA ke 49.8%.
Tidak termasuk item-item sekali (one-off), Keuntungan Selepas Cukai (Profit After Tax - PAT) yang dinormalkan mencatatkan pertumbuhan sebanyak 2.3% ke RM2,097 juta.
Segmen Perusahaan Tetap, yang dikenal pasti sebagai pemacu pertumbuhan Maxis pada masa hadapan, mencatatkan pertumbuhan hasil tahun ke tahun sebanyak 18.2%. Dengan menyasarkan pasaran perusahaan kecil dan sederhana (Small and Medium Enterprises - SME), Syarikat menetapkan fokus untuk meningkatkan keupayaan perusahaan, dengan menawarkan cara berkerja yang baru dan inovatif, seperti pengkomputeran awan dan keupayaan perkhidmatan terurus,
Dari segi pelaburan rangkaian, Maxis telah melabur RM815 juta pada tahun 2013 terutamanya untuk meluaskan jejak liputan 4G dan liputan penduduk di seluruh negara. Hanya selepas setahun dilancarkan, Maxis terus menerajui pasaran dari segi jejak liputan 4G terluas, meliputi 15% daripada penduduk. Maxis adalah pengendali pertama di Malaysia untuk menggunakan rangkaian LTE 2x20Mhz 150Mbps, menggandakan kelajuan paut turun yang sedia ada.
Maxis mengumumkan dividen interim ke-empat sebanyak lapan sen sesaham dan dividen terakhir yang dicadangkan sebanyak lapan sen sesaham, membawa jumlah dividen bagi tahun 2013 ke 40 sen sesaham, dan jumlah pembayaran dividen kepada pemegang saham ke RM3 bilion.
Bagi suku di bawah ulasan, Maxis mencatatkan hasil sebanyak RM2,224 juta terutamanya disebabkan oleh penurunan dalam segmen Mudah Alih dan Gerbang Antarabangsa. Tidak termasuk kos CTS berjumlah RM41 juta, kos kandungan yang telah dihapus kira sebanyak RM4 juta dan peruntukan untuk komitment kontrak berkaitan dengan perkhidmatan Kediaman sebanyak RM65 juta, EBITDA yang dinormalkan bagi suku ke-empat 2013 adalah sebanyak RM1,081 juta dengan Margin EBITDA sebanyak 48.6%. PAT yang dinormalkan adalah RM466 juta.
Morten Lundal, Ketua Pegawai Eksekutif, berkata, “2013 merupakan tahun yang mencabar bagi Maxis, namun kami berjaya merekodkan hasil yang stabil dengan keuntungan yang meningkat. 2014 akan menjadi tahun transformasi untuk Maxis. Memandang ke hadapan, kami tahu arah yang perlu dituju dan apa yang perlu dilakukan. Paling penting sekali, kami ingin memastikan bahawa Maxis memberi pengalaman Internet yang terbaik. Oleh itu, kami akan melabur dalam rangkaian dan IT, serta mereka bentuk produk dan pelbagai lagi perkhidmatan yang memaksimumkan kebebasan pelanggan kami untuk berkomunikasi. Kami akan menghadapi pelbagai cabaran tetapi kami juga teruja, dan kami berada dalam kedudukan yang baik untuk memanfaatkan pelbagai peluang untuk memberi nilai kepada pemegang saham bagi jangka masa panjang.”