Amaran: Waspada

Amaran: Waspada

Penipuan SMS yang mengaku sebagai Maxis

Maxis catat prestasi kukuh untuk 2023

Photo 1 - Maxis Logo
  • Hasil Perkhidmatan pada RM8,572 juta, meningkat 2.8% tahun ke tahun
  • EBITDA pada RM3,960 juta, meningkat 0.8% tahun ke tahun
  • Keuntungan Selepas Cukai Dinormalisasikan pada RM1,353 juta, meningkat 3.0% tahun ke tahun
  • Dividen interim sebanyak 4 sen sesaham

Maxis mencatat prestasi yang kukuh bagi tahun kewangan berakhir 31 Disember 2023, mengekalkan momentumnya dengan hasil perkhidmatan dan pendapatan sebelum faedah, cukai, susut nilai dan pelunasan (EBITDA) yang tertinggi dalam 5 tahun. Syarikat mencatat pertumbuhan yang mantap merentas perniagaan pengguna dan perusahaan, disokong oleh strateginya yang berfokus kepada kompetensi teras sebagai penyedia telekomunikasi bersepadu yang terkemuka.

Didorong oleh pertumbuhan dalam segmen mudah alih dan fiber pengguna, serta kesalinghubungan dan penyelesaian digital perusahaan, hasil perkhidmatan Syarikat meningkat sebanyak 2.8% tahun ke tahun (YoY) kepada RM8,572 juta. Ini menyumbang kepada EBITDA sebanyak RM3,960 juta dan Keuntungan Selepas Cukai Dinormalisasi (PAT dinormalisasi) sebanyak RM1,353 juta.

Perniagaan Pengguna Maxis meningkat sebanyak 3.7%, melepasi paras RM7 bilion dalam hasil perkhidmatan pada tahun tersebut. Hasil pascabayar meningkat 7.5% YoY sejajar dengan pertumbuhan pelanggan. Sejak memperkenalkan pelan-pelan 5G pada Ogos 2023, Syarikat telah memperluaskan penawaran 5G merentas semua pelan mudah alihnya untuk memberi nilai yang lebih besar. Pelanggan jalur lebar kediaman meningkat kepada 750,000 isi rumah, disokong oleh pengambilan langganan jalur lebar fiber yang kuat.

Sementara itu, hasil perniagaan Perusahaan Maxis telah meningkat sebanyak 6.4% daripada pertumbuhan dalam semua kategori produk, termasuk kesalinghubungan mudah alih dan tetap serta penyelesaian perusahaan, disumbang oleh kemenangan kontrak. Sebagai syarikat telekomunikasi bersepadu, Maxis terus memenuhi keperluan kesalinghubungan dan digital bagi perusahaan berbilang saiz.

Syarikat mengisytiharkan dividen interim sebanyak 4 sen sesaham, menjadikan dividen tahun penuh sebanyak 16 sen sesaham.

Maxis telah menguruskan perbelanjaan modal (capex) secara teliti sambil mengekalkan kecemerlangan operasi dan perkhidmatan, dengan pelaburan capex berjumlah RM813 juta pada tahun tersebut.

Photo 2 - Maxis CEO Goh Seow Eng
quote

“Kami telah mencatat prestasi yang kukuh selaras dengan janji kami iaitu pertumbuhan yang mampan. Kami akan terus membina atas asas kukuh kami sebagai penyedia telekomunikasi bersepadu yang terkemuka, memastikan kami mengekalkan fokus sepenuhnya kepada menyediakan pengalaman pelanggan yang terbaik.” - Goh Seow Eng, Ketua Pegawai Eksekutif Maxis

Sorotan kewangan TK2023: TK2023 berbanding TK2022

  • Hasil Perkhidmatan meningkat 2.8% kepada RM8,572 juta, didorong oleh pertumbuhan hasil dalam perniagaan Pengguna dan Perusahaannya.
    • Pascabayar mudah alih mengekalkan momentum dengan pertumbuhan pelanggan yang sihat sebanyak 7.6%, menjadikan jumlah langganan pascabayar 3.60 juta. Syarikat telah memperluaskan pilihan pelan Pascabayarnya untuk memenuhi keperluan pasaran yang lebih luas, termasuk penawaran Pascabayar 5G yang dipertingkatkan. Ini menyumbang kepada pertumbuhan hasil sebanyak 7.5% kepada RM3,520 juta.
    • Langganan prabayar mudah alih meningkat sebanyak 1.6% kepada 5.88 juta, menyumbang kepada hasil sebanyak RM2,619 juta. Daya tahan segmen ini telah dapat dikekalkan walaupun terdapat persaingan yang sengit kerana Syarikat terus meningkatkan penawaran Hotlinknya untuk memastikan tawaran nilai yang optimum untuk pelanggan, terutamanya dalam segmen tumpuan seperti golongan belia dan kawasan yang kurang diwakili.
    • Kesalinghubungan Kediaman telah mencatatkan pertumbuhan hasil yang sihat sebanyak 9.7% YoY kepada RM925 juta. Ini disumbang oleh pertumbuhan sebanyak 12.1% dalam sambungan kediaman, dengan jumlah pelanggan melebihi paras 750,000 berikutan pengambilan langganan fiber yang kuat.
    • Hasil perusahaan (tidak termasuk wholesale voice) meningkat sebanyak 6.4% kepada RM1,508 juta. Pada suku keempat, segmen ini telah menambah kontrak berbilang tahun merentasi pelbagai segmen Perusahaan, dengan menyediakan penyelesaian sambungan mudah alih dan tetap, penyelesaian internet pelbagai benda (IoT), awan dan perkhidmatan terurus. Syarikat juga menggiatkan usaha dalam penawaran penyelesaian keterhubungan bersepadu dalam bidang seperti mobiliti pintar dan kenderaan elektrik (EV).
  • EBITDA mengekalkan daya tahan pada RM3,960 juta oleh sebab langkah-langkah pengoptimuman kos Syarikat bersama pertumbuhan hasilnya.
  • PAT dinormalisasikan sebanyak RM1,353 juta. Termasuk pelarasan sekali dan bukan tunai, PAT yang dilaporkan Syarikat adalah berjumlah RM992 juta.
  • Capex sebanyak RM813 juta dengan fokus kepada memastikan pelaburan yang optimum untuk menyokong pertumbuhan kapasiti, binaan fiber dan pendigitalan. Maxis terus melabur secara selektif dalam bidang-bidang keutamaan, termasuk hab internet serantaunya di Sabah dan Sarawak pada tahun tersebut.
  • Aliran tunai bebas operasi menurun kepada RM2,853 juta, terkesan oleh pembayaran cukai pada tahun tersebut dan bayaran pendahuluan mengikut Perjanjian Langganan Saham (SSA) bersyarat berkenaan dengan Digital Nasional Berhad (DNB). Baki tunai kekal stabil pada RM569 juta.

Inisiatif utama pada 2023:

  • Menjalin kerjasama strategik dengan Telekom Malaysia untuk menyediakan Rangkaian Teras Berbilang Operator (Multi Operator Core Network, MOCN) 4G serta Perkhidmatan Perayauan Domestik 4G dan 2G untuk memanfaatkan pelanggan di kawasan luar bandar dan bandar di seluruh negara.
  • Menyokong seruan kerajaan berkenaan kesalinghubungan dan peranti mampu milik melalui Pakej 5G RAHMAH dan Insentif Postpaid Penjawat Awam, selaras dengan rangka kerja Ekonomi MADANI. 
  • Syarikat telekomunikasi yang pertama untuk membina Hab-Hab Internet Serantau di Kuching dan Kota Kinabalu, menyediakan pengalaman pengguna yang unggul melalui kelajuan yang lebih tinggi dan kependaman internet yang lebih rendah, dengan ketersambungan kandungan antarabangsa langsung.
  • Melancarkan pelan-pelan 5G baharu dengan nilai yang menarik untuk semua segmen, dengan fokus kepada kemampumilikan dan penerimagunaan.
  • Melancarkan pelan-pelan fiber baharu untuk menyediakan pengalaman keseluruhan dan nilai yang lebih baik, termasuk 1 dan 2Gbps buat pertama kali.
  • Melanjutkan perjanjiannya untuk mengakses perkhidmatan premium Jalur Lebar Berkelajuan Tinggi (HSBB) TM sehingga tahun 2029.
  • Melaksanakan Perjanjian Langganan Saham (SSA) bersyarat berkenaan cadangan pegangan ekuiti dalam DNB.
Archives
Tags