Kepimpinan Rangkaian Memacu Pertumbuhan Maxis

schedule 28 Oct 2015

Maxis Berhad (Maxis) merekodkan prestasi yang kukuh bagi suku ketiga 2015 berikutan pertumbuhan prabayar yang kukuh dan asas pascabayar yang stabil. Pertumbuhan ini dipacu oleh penggunaan data yang lebih tinggi, disokong oleh proposisi pelanggan yang menarik dan pengalaman internet yang unggul.

Hasil perkhidmatan bagi suku ketiga 2015 meningkat sebanyak 3.1% daripada suku kedua 2015 ke RM2,158 juta, didorong oleh pertumbuhan 6% bagi prabayar dan 0.7% yang stabil bagi pascabayar. Berbanding suku ketiga 2014, hasil perkhidmatan meningkat sebanyak 5.3%. Pertumbuhan dalam hasil prabayar didorong oleh penggunaan data yang lebih tinggi manakala bagi pascabayar, pertumbuhan adalah hasil dari pelanggan bernilai tinggi yang melanggan pelan MaxisONE.

Morten Lundal, Ketua Pegawai Eksekutif Maxis, berkata, "Ia merupakan satu suku yang kukuh bagi Maxis. Memang mengagumkan melihat bagaimana rakyat Malaysia begitu sukakan Internet dan kami sentiasa bekerja keras untuk memastikan pengalaman data "Sentiasa Terhubung" yang unggul. Maxis terus membuat pelaburan yang lebih supaya kami boleh menawarkan para pelanggan kami rangkaian data terbaik dengan tumpuan khusus kepada kepimpinan LTE."

Pada suku ini, Maxis membelanjakan RM359 juta dalam meningkatkan lagi rangkaian berprestasi tinggi. Liputan 4G LTE kini meliputi 55% daripada penduduk, menjadikan Maxis peneraju pasaran dengan liputan 4G LTE yang paling pantas dan paling luas di negara ini. Itu bermakna Maxis mempunyai liputan 4G LTE sebanyak 95% di pusat pasaran utama dan 60% di semua ibu negeri.

Dalam perkembangan yang positif lagi, Maxis mempunyai 9 juta pengguna Internet mudah alih, dan semakin ramai lagi daripada pelanggan tersebut menggunakan 4G LTE. Syarikat menambah 1.5 juta pengguna 4G LTE dalam tempoh 12 bulan yang lalu dan mereka menggunakan secara purata sebanyak 2.3GB data sebulan. Bagi menampung pertumbuhan trafik data yang tinggi, Maxis menjangka perbelanjaan capexnya bagi tahun 2015 akan berada dalam lingkungan RM1.2 bilion ke RM1.3 bilion.

Bagi suku ketiga, Maxis mencatatkan Perolehan Sebelum Faedah, Cukai, Susut Nilai dan Pelunasan (Earnings Before Interest, Tax, Depreciation and Amotisation – EBITDA) sebanyak RM1,111 juta dan margin EBITDA hasil perkhidmatan sebanyak 51.6%, berbanding RM1,110 juta dan 54.3% pada suku sebelumnya. Berbanding dengan suku yang sama pada tahun sebelumnya, EBITDA adalah RM1,079 juta dan margin EBITDA hasil perkhidmatan sebanyak 53.1%. Ini tidak termasuk kerugian pertukaran wang asing yang belum direalisasi.

Keuntungan Selepas Cukai (Profit After Tax – PAT) bagi suku ini meningkat 3.5% ke RM509 juta berbanding RM492 juta yang dicatatkan pada suku sebelumnya. Tahun ke tahun, PAT meningkat 1.8% berbanding RM500 juta yang direkodkan pada suku ketiga 2014. Ini adalah selepas pelarasan bagi susut nilai dipercepatkan yang disebabkan oleh pemodenan rangkaian serta kerugian pertukaran wang asing yang belum direalisasi.

Syarikat telah mengumumkan dividen interim ketiga sebanyak lima sen sesaham.

Categories

Network
Corporate

Popular Posts

Archives
Tags