Maxis & Kementerian Pelajaran Malaysia Mengumumkan Pelaksanaan Program Rintis Maxis eKelas

schedule 23 May 2013
  • Maxis & Kementerian Pelajaran Malaysia mengiktiraf 30 buah sekolah yang berjaya melaksanakan program rintis Maxis eKelas yang dilancarkan pada tahun 2012
  • Maxis & Kementerian Pelajaran Malaysia mengiktiraf 30 buah sekolah yang berjaya melaksanakan program rintis Maxis eKelas yang dilancarkan pada tahun 2012
  • Maxis eKelas juga ditawarkan kepada para pelanggan Maxis dan Hotlink dengan caj serendah RM25 sebulan untuk akaun pertama dan RM20 untuk akaun-akaun seterusnya
  • Maxis sentiasa menyokong usaha kerajaan dalam bidang pendidikan melalui pembelajaran ICT

 

SIARAN AKHBAR
Untuk siaran segera
Kuala Lumpur, 23 Mei 2013

 

Satu-satunya penyedia perkhidmatan komunikasi bersepadu Malaysia, Maxis Berhad (Maxis), dengan kerjasama Kementerian Pelajaran Malaysia (KPM), telah mengadakan sebuah majlis istimewa untuk mengiktiraf 30 buah sekolah yang telah berjaya melaksanakan program rintis Maxis eKelas. 30 buah sekolah tersebut, yang terdiri daripada 900 pelajar dan 120 guru, merupakan antara yang pertama diperkenalkan kepada program Maxis eKelas, satu perkhidmatan pembelajaran interaktif secara talian yang dilancarkan pada tahun 2012 yang merangkumi alat pengajaran dan pembelajaran tambahan yang efektif dengan memanfaatkan kemudahan ICT yang sedia ada di sekolah. Selaras dengan pelaksanaan program rintis ini, Maxis dan KPM sudah bersedia untuk menawarkan perkhidmatan Maxis eKelas ini pada skala yang besar kepada 2,300 buah sekolah menengah kebangsaan di seluruh Malaysia secara percuma bermula bulan Jun ini.

Majlis pengiktirafan tersebut telah dihadiri oleh YBhg Tan Sri Abd Ghafar Mahmud, Ketua Pengarah Pelajaran, Kementerian Pelajaran Malaysia, YM Raja Tan Sri Dato’ Seri Arshad Raja Tun Uda, Pengerusi Maxis serta para guru dan pelajar daripada 30 buah sekolah yang mengambil bahagian dalam program ini.

“Setelah melihat impak program ini di sekolah-sekolah rintis Maxis eKelas, kami teruja untuk menawarkan perkhidmatan ini kepada sekolah-sekolah menengah kebangsaan yang lain di seluruh Malaysia dengan harapan bahawa mereka juga akan mendapat manfaat daripada perkhidmatan pembelajaran inovatif ini. Kami percaya bahawa Maxis eKelas akan dapat menambah pemahaman setiap murid dengan kaedah pembelajaran secara pengalaman dan penerokaan yang menggalakkan gaya pembelajaran yang berbeza. Melalui inisiatif ini, kami gembira untuk menyokong usaha kerajaan dalam membina keupayaan, membantu untuk membangunkan masyarakat masa depan yang celik teknologi, dinamik dan inovatif melalui pembelajaran ICT,” kata YM Raja Tan Sri Arshad.

Sementara itu, YBhg Tan Sri Abdul Ghafar juga berkata, “KPM memberi fokus yang jitu terhadap agenda pembestarian kerana ianya membantu dalam meluaskan akses kepada pendidikan berkualiti dan berkemampuan bagi semua rakyat. Peruntukan Maxis eKelas sebagai perkhidmatan percuma kepada semua sekolah menengah di seluruh negara adalah satu usaha murni dari Maxis dalam menyumbang kepada pendidikan negara, yang merupakan sebahagian daripada inisiatif Tanggungjawab Korporat mereka.”

Semasa program rintis Maxis eKelas dijalankan, para pelajar dan guru daripada sekolah yang mengambil bahagian diberi alat pembelajaran tambahan secara talian yang memfokuskan kepada pemerolehan pengetahuan melalui penyesuaian, eksperimen dan pengalaman berdasarkan senario kehidupan harian yang relevan. Kandungan dan cara penyampaian Maxis eKelas ini adalah bersesuaian dengan keperluan pelajar dan terus diacu untuk memberikan pengalaman pembelajaran yang inovatif.

Bagi menambahkan keterujaan untuk program ini, Maxis telah memperkenalkan ‘Maxis eKelas Challenge’  kepada para peserta program rintis ini yang dibahagikan kepada dua kategori - Cabaran Sekolah dan Cabaran Pelajar. Bagi Cabaran Sekolah, para guru diberikan tiga bulan untuk menggunakan Maxis eKelas sebagai alat tambahan di sekolah dan mereka dikehendaki mengemukakan amalan terbaik bagi rekabentuk pengajaran semasa menggunakan Maxis eKelas di sekolah. Bagi Cabaran Pelajar, kesemua 900 pelajar perlu menduduki peperiksaan secara talian, dimana sekolah yang mendapat markah tertinggi akan digelar sebagai pemenang. Peperiksaan tersebut terdiri daripada soalan topikal Matematik dan Sains beserta pemahaman fungsi dan aktiviti Maxis eKelas.

“Saya percaya melalui aktiviti seperti Maxis eKelas Challenge ini, kita dapat mencapai enam ciri aspirasi murid iaitu pengetahuan, kemahiran berfikir, kemahiran memimpin, kemahiran dwibahasa, etika dan kerohanian serta identiti nasional. Anak-anak perlu sedari bahawa aktiviti-aktiviti pertandingan seperti ini perlu disertai kerana ia membantu memupuk kecemerlangan dan seterusnya meletakkan generasi muda kita setaraf atau lebih cemerlang daripada mana-mana generasi muda di negara-negara maju,” tambah Tan Sri Abdul Ghafar.
Pemenang bagi cabaran sekolah adalah SMK Tunku Besar Burhanuddin dari Negeri Sembilan, yang membawa pulang hadiah berjumlah RM15,000. SMK Cyberjaya dinamakan pemenang untuk kategori cabaran pelajar dan membawa pulang hadiah berjumlah RM4,000. Hadiah-hadiah tersebut terdiri daripada alat-alat pembelajaran interaktif serta alat-alat digital yang akan membantu para guru dan pelajar didalam proses pengajaran dan pembelajaran di sekolah.

Maxis eKelas juga dibuka untuk langganan kepada para pelanggan Maxis dan Hotlink dengan caj serendah RM25 sebulan untuk akaun pertama dan RM20 untuk akaun-akaun seterusnya. Untuk melanggan perkhidmatan ini, para pelanggan hanya perlu melayari laman web www.ekelas.com.my. Di sini, mereka hanya perlu membuka akaun untuk menikmati perkhidmatan yang disediakan.
Program Maxis eKelas adalah hasil kerjasama antara Maxis dan KPM yang dimeterai pada tahun 2011, yang bertujuan untuk menyokong usaha kerajaan dalam meningkatkan penggunaan ICT di sekolah melalui pembelajaran kreatif. Perkongsian pintar di antara Maxis dan Kementerian Pelajaran menandakan satu lagi peristiwa penting dalam siri inisiatif tanggungjawab korporat yang dijalankan oleh Maxis. Sejak tahun 2002, Maxis telah bekerja rapat dengan Kementerian Pelajaran dalam program Bridging Communities, dengan menyediakan rakyat Malaysia dari kawasan-kawasan pedalaman dengan akses kepada internet dan mendedahkan masyarakat kepada alat-alat internet, sekali gus mengurangkan halangan kepada pendidikan, maklumat, kesihatan, perdagangan, dan lain-lain perkhidmatan yang serupa. Tambahan pula, melalui projek utamanya, Maxis Camp Cyberkids, Maxis telah menyentuh kira-kira 8,500 pelajar dan guru-guru dari kira-kira 1,500 sekolah-sekolah; melengkapkan mereka dengan kemahiran teknologi untuk menyesuaikan diri dengan dunia yang pesat berubah.

- Tamat -
 

Mengenai Maxis Berhad

Maxis Berhad adalah satu-satunya penyedia perkhidmatan komunikasi bersepadu di Malaysia dengan jumlah hasil sebanyak RM8.9 bilion pada tahun 2012 dan lebih 14 juta pelanggan. Sebagai salah satu daripada jenama tempatan yang paling dikagumi di Malaysia, Maxis telah berkembang dari sebuah syarikat pengendali mudah alih yang terulung kepada sebuah syarikat yang menawarkan pelbagai perkhidmatan yang memperkayakan kehidupan pelanggannya, sama ada di rumah, di tempat kerja atau ketika bergerak: mudah alih dan suara tetap, mesej, internet mudah alih, jalur lebar berkelajuan tinggi tanpa wayar dan berwayar, dan kandungan dan aplikasi pelbagai skrin – sama ada ianya hiburan, pendidikan, keselamatan atau pengkomputeran awan - melalui rangkaian mudah alih, tetap dan satelit. Maxis telah melancarkan rangkaian berkelajuan tinggi yang pertama di Malaysia termasuk 3G, 3.5G, 3.5G+ dan adalah yang pertama untuk melancarkan 4G LTE (Long Term Evolution - LTE), pada awal tahun ini. Jejak rangkaian berkelajuan tinggi Maxis adalah yang terluas di negara dengan liputan 2G sebanyak 95% dan liputan 3G berkelajuan tinggi sebanyak 82%.

Sebagai penyokong utama ekosistem pembangunan aplikasi Malaysia, Maxis bekerjasama dengan pembangun tempatan untuk membawa aplikasi inovatif kepada pelanggan sementara menyediakan pelbagai jenis kandungan tempatan di pasaran, dengan pilihan Aplikasi percuma yang menarik kepada segmen yang berbeza untuk pelbagai peranti pintar. Usaha Maxis dalam membawa inovasi, memastikan perkhidmatan pelanggan yang cemerlang dan memberi nilai kepada pihak berkepentingan telah membolehkan Syarikat memperoleh pelbagai anugerah termasuk memenangi 20 anugerah di majlis Anugerah Tahunan Pengurusan Perhubungan Pelanggan dan Persatuan Pusat Perhubungan Malaysia (CCAM) ke-13 pada tahun 2012, Pengurusan Syarikat Terbaik, Majikan Terbaik Asia serta Anugerah ‘Putra Brand of the Year’ pada tahun 2011 dan syarikat 5 Teratas bagi Anugerah Pengendali Global Terbaik oleh Anugerah Komunikasi Dunia pada tahun 2012 dan 2010. Komited untuk menyumbang kepada masyarakat di mana Syarikat beroperasi, usaha Tanggungjawab Korporat Maxis memfokus kepada menghasilkan 'Impak Positif', memanfaatkan teknologi canggih bagi mencipta nilai untuk ekonomi, masyarakat dan alam sekitar. Untuk maklumat lanjut, sila layari: maxis.com.my.

Categories

eKelas
Community

Popular Posts

collections Photos

View our photo gallery

Photos
access_time 12 May 2018
collections eKelas seeing a more collaborative learning environment

It was a bright and breezy Saturday morning at Kampung Quop, Kuching, Sarawak. Daphne Xandria with 19 of her Year 6 school friends were heading to the Pusat Internet to have their first experience learning about fractions with eCikgu.

Community
eKelas
access_time 12 May 2018
Archives
Tags