Maxis Mengumumkan Struktur Organisasi Yang Lebih Fokus Berdasarkan Bidang Perniagaan Teras

schedule 10 Jun 2013

SIARAN AKHBAR
Untuk siaran segera
Kuala Lumpur, 10 Jun 2013

Berikutan pengumuman pada 29 Mei, Maxis Berhad, satu-satunya penyedia perkhidmatan komunikasi bersepadu di Malaysia, dengan sukacitanya ingin mengumumkan struktur organisasi baru dengan fokus yang lebih tajam yang bertujuan untuk mengukuhkan bidang perniagaan teras untuk pertumbuhan masa depan.     

Struktur baru ini akan menyelaraskan operasi, memperbaiki proses dan menjadikan Maxis lebih tangkas dan padu dalam menyampaikan proposisi bersepadu ke semua produk dan perkhidmatan, serta menyokong strategi pertumbuhan Syarikat.

Raja Tan Sri Dato’ Seri Arshad bin Raja Tun Uda, Pengerusi Maxis Berhad mengulas mengenai perkembangan terbaru ini. “Struktur organisasi dengan fokus yang lebih tajam ini adalah satu langkah penting dalam pelaksanaan misi kami untuk menjadi penyedia perkhidmatan komunikasi bersepadu. Usaha-usaha ke arah mewujudkan struktur ini telah dibuat sebagai tindak balas kepada perubahan dinamik pasaran yang agresif dan permintaan para pengguna yang giat berubah dan akan membolehkan Maxis bersaing dengan lebih berkesan, dan memberi nilai yang lebih kepada para pelanggan dan pemegang saham kami.

”Dalam membuat perubahan ini, kami tetap komited untuk memperkayakan kehidupan para pelanggan kami dan mewujudkan impak positif terhadap persekitaran di mana kami beroperasi. Ini akan diupayakan oleh tenaga kerja kami yang mantap yang terdiri daripada bakat-bakat yang terkemuka dalam industri,” kata Tan Sri Arshad.

Struktur baru ini, yang akan berkuat kuasa pada hari ini, 10 Jun 2013, akan terdiri daripada pasukan yang diketuai oleh Ketua Pegawai Operasi Bersama (Joint Chief Operating Officers - JCOO) Nasution Mohamed dan Suren J. Amarasekera, yang kedua-duanya akan memimpin  keseluruhan Syarikat dan bertanggungjawab terhadap prestasinya.

Nasution membawa bersamanya pengalaman perniagaan yang luas selama 19 tahun di Malaysia dan di luar negara, dan telah memainkan peranan yang strategik dalam mengintegrasikan sumber di seluruh fungsi perniagaan dalam kapasiti beliau sebagai Ketua Pegawai Kewangan untuk menyampaikan prestasi yang tinggi di Maxis. Beliau menyertai Maxis pada tahun 2011, setelah berkhidmat dalam beberapa jawatan pengurusan kanan di syarikat-syarikat tempatan dan antarabangsa. Di samping peranan barunya sebagai JCOO, beliau juga akan terus menyelia fungsi kewangan Syarikat.

Suren menyertai Maxis pada tahun 2011, dan telah bertanggungjawab untuk perniagaan telefoni mudah alih pengguna. Beliau mempunyai lebih 20 tahun pengalaman dalam industri telekomunikasi, dan telah berkhidmat selama 13 tahun di SingTel, di mana beliau memegang beberapa jawatan pengurusan kanan yang merangkumi pelbagai fungsi dalam SingTel dan 6 tahun sebagai Ketua Pegawai Eksekutif Mobitel, iaitu perniagaan mudah alih Sri Lanka Telecom.

Struktur baru ini menyelaraskan perniagaan ke empat bidang perniagaan, dan ketua-ketua bidang masing-masing adalah seperti berikut:

  • Penyelesaian Perusahaan (Enterprise Solutions), yang diketuai oleh Shanti Jusnita Bt Johari - Shanti akan menguruskan perniagaan Perusahaan, Kerajaan dan Perusahaan Kecil dan Sederhana (Small and Medium Enterprises – SME) Syarikat. Shanti menyertai Maxis dari Telekom Malaysia pada bulan September 2011. Beliau membawa bersamanya pengalaman selama 16 tahun dalam industri telekomunikasi, khususnya dalam bidang jualan, pemasaran, dan strategi & pengurusan perniagaan dalam segmen perusahaan dan SME.
  • Perniagaan Pengguna (Consumer Business), yang diketuai oleh Dushyanthan Vaithiyanathan - Dushyan akan bertanggungjawab untuk pengurusan hujung ke hujung semua perniagaan mudah alih dan tetap untuk segmen pengguna. Dushyan, yang pernah berkhidmat dengan Maxis, mempunyai lebih 16 tahun pengalaman serantau dalam pemasaran pengguna, strategi perniagaan dan kewangan korporat dimana 9 tahun adalah dalam industri telekomunikasi. Sebelum menyertai Maxis, beliau telah memegang jawatan pengurusan kanan di Telenor ASA, Bangkok dan Digi Telecommunications.
  • Jualan & Perkhidmatan (Sales & Services), yang diketuai oleh Tan Lay Han - Dalam jawatan barunya, Lay Han akan mengetuai pasukan yang akan memberi tumpuan kepada Perkhidmatan Pelanggan, Pengurusan Saluran & Rantaian Bekalan. Beliau menyertai Maxis pada bulan Oktober 1999 dan telah memegang beberapa jawatan pengurusan kanan meliputi pelbagai fungsi di Maxis termasuk Ketua Jualan dan Pengedaran dan Ketua Saluran Pengedaran & Khidmat Pelanggan.
  • Perkhidmatan Digital (Digital Services), yang diketuai oleh Kugan Thirunavakarasu - Kugan akan menyelia pembangunan perkhidmatan digital dan berasaskan awan Maxis yang inovatif, termasuk Aplikasi Mudah Alih. Beliau menyertai Maxis pada tahun 2003 dan memiliki lebih 20 tahun pengalaman dalam bidang telekomunikasi, di Malaysia dan di luar negara.

Di samping itu, empat bidang perniagaan ini akan disokong oleh Bahagian Perkhidmatan Maklumat, Rangkaian, Kewangan, Sumber Manusia, Hal Ehwal Korporat, Hal Ehwal Regulatori & Kerajaan serta Undang-undang dalam operasi harian Syarikat.

“Maxis, sebagai peneraju pasaran dengan lebih 14 juta pelanggan dan dengan hasil sebanyak RM8.9 bilion pada tahun 2012, telah membentuk cara pelanggan kami hidup, bekerja dan bermain dengan memperkenalkan kepada pasaran teknologi canggih yang terkini - terbaru sekali merupakan pelancaran perkhidmatan 4G LTE pada 1 Januari 2013. Kami akan terus mendahulukan pelanggan kami dalam setiap apa yang kami lakukan dalam industri komunikasi yang sedang pesat berubah sejajar dengan era digital. Langkah untuk menyelaraskan struktur di bawah empat bidang perniagaan akan meningkatkan keupayaan kami untuk fokus dalam memberi para pelanggan kami pengalaman terbaik pada bila-bila masa, di mana sahaja dan di mana-mana peranti serta mewujudkan pengalaman pelanggan yang kaya untuk kedua-dua pengguna dan perusahaan,” tambah Tan Sri Arshad.

Categories

Corporate

Popular Posts

Archives
Tags